DR Justin telah mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesies halokarbon.
DR Justin telah mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesies halokarbon.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Saintis negara dari Fakulti Sains dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Justin Sentian diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama menjalani ekspedisi di Antartika semasa musim sejuk dan paling lama berada di Antartika iaitu tujuh bulan.

Beliau selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin setelah menjalani penyelidikan musim sejuk berkaitan perubahan iklim bertajuk Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau.

Justin telah mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesies halokarbon seperti bromokarbon serta memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon sepanjang musim sejuk di Antartika.

"Data-data ini penting dalam kajian kimia ozon atmosfera terutama di lapisan troposfera dan stratosfera serta juga implikasinya ke atas peningkatan paras ozone troposfera dan kesan jangka masa panjang kepada perubahan iklim.

"Ini kerana memandangkan ozon permukaan ini merupakan bahan pencemar sekunder dan juga gas rumah hijau yang penting dalam isu pemanasan bumi, ozon ini mempunyai keupayaan memerangkap haba 1000 kali lebih baik dari karbon dioksida," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Justin menjelaskan kajian ke atas halokarbon seperti bromokarbon juga boleh membawa implikasi penting bukan sahaja kepada kimia ozon atmosfera tetapi juga peranannya sebagai bahan penipis ozon.

"Halokarbon ini adalah bahan semula jadi yang boleh menipiskan lapisan ozon. Jika ini berlaku, usaha negara-negara di dunia termasuk Malaysia untuk memulihkan lapisan ozon melalui implementasi Montreal Protocol akan terencat," katanya.

Menurutnya antara cabaran yang dilaluinya adalah menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem dengan suhu udara mencapai -44 darjah Celsius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah 120 kilometer/jam serta cuaca yang tidak menentu dalam sehari yang menyukarkan beliau untuk mengambil sampel kajian.

"Saya berharap hasil kajian ini dapat memberi impak yang signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesies-spesies hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca yang ekstrem pada musim sejuk," katanya.

Beliau juga berharap kajian tersebut dapat menyumbang kepada kalangan saintis kimia atmosfera serta kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika.

Ekspedisi tujuh bulan itu dilaksanakan bersama rakan penyelidik Prof Julio Escudero dari Chile di stesen penyelidikan milik Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika yang dianjurkan oleh YPASM dengan kerjasama organisasi Instituto Antartico Chileno (INACH) dan Kedutaan Chile di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 8:14 AM