JHO LOW.
JHO LOW.
Farah Marshita Abdul Patah


WARAN tangkap terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho, atau Jho Low dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, waran tangkap itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar selepas Jho Low gagal hadir untuk menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Turut berdepan pertuduhan sama, empat individu lain termasuk seorang peguam wanita.

Melalui carian e-filing di mahkamah, empat individu berkenaan dipercayai adalah peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 45; bekas pengarah eksekutif, Casey Tang Keng Chee, 53; bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng, 47 dan Eric Tan Kim Loong, 40.

Terdahulu, pihak media menunggu seawal jam 8.30 pagi selepas dimaklumkan prosiding pendakwaan terhadap lima tertuduh itu akan dijalankan tanpa kehadiran (in absentia) di empat Mahkamah Sesyen berasingan.

Sebelum ini, pihak polis memfailkan lapan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap ahli perniagaan, Jho Low dan bapanya, Tan Sri (Larry) Low Hock Peng, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Dipercayai, kertas tuduhan berkenaan difailkan 'in absentia' (tanpa kehadiran tertuduh) di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada 24 Ogos lalu.

Mengikut kandungan dokumen yang diperoleh portal dalam talian, The Edge, Jho Low menghadapi lapan tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bapanya, Hock Peng pula menghadapi satu pertuduhan memindahkan AS$56 juta (RM230 juta) kepada anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:16 PM