JHO Low. FOTO Arkib NSTP.
JHO Low. FOTO Arkib NSTP.
Wartawan NSTP


Kuala Lumpur: Kerajaan dikatakan sedang mengadakan rundingan dengan China bagi mengektradisi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pengarang bersama buku "Billion Dollar Whale" mengisahkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bradley Hope, yang memetik sumber berkata bahawa rancangan itu sedang dibincangkan kerajaan berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, bulan lalu.

Hope dalam laman web khusus untuk menjejaki Jho Low di sebalik skandal berbilion dolar itu, berkata perkembangan terbabit adalah sesuatu yang besar, menarik dan menandakan berakhirnya jalan cerita utama skandal itu.

Tambahnya, rancangan itu akan mengekstradisi Jho Low ke Malaysia dan membebaskan China daripada dakwaan terbabit dalam perjanjian dengan ahli perniagaan itu untuk menutup skandal 1MDB.

Hope yang memetika sumber, berkata Jho Low menjadi "liabiliti terburuk" kepada China selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kalah dalam pilihan raya pada 2018.

"Sumber turut mendakwa bahawa perjanjian itu akan membolehkan Malaysia menerima semua wang yang dicuri daripada 1MDB bersama aset lain yang dikaitkan dengan dana kekayaan negara.

"Ini adalah perjanjian yang perlu kendalikan dengan bijaksana dan mencabar untuk diselesaikan. Saya membayangkan bahawa kedua-dua pihak (Malaysia dan China) ingin perkara ini menjadi pengumuman yang positif," katanya.

Jho Low, yang turut didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) membabitkan skandal 1MDB, dipercayai berada di Macau, di mana China menafikan menyembunyikan pelarian itu.

Bulan lalu, beliau dihukum penjara 10 tahun secara absentia oleh Mahkamah Kuwait atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Tahun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengulangi komitmen beliau untuk memburu Jho Low dan membawanya pulang bagi menghadapi tuduhan dikenakan terhadap ahli perniagaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 12:43 PM