Nor Azizah Mokhtar

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan tuduhan palsu dilemparkan pihak tertentu di India mengatakan kerajaan bertindak ganas dan tidak berperikemanusiaan ketika menangani kekacauan di Kuil Seri Maha Mariamman Seafield, USJ 25, Isnin lalu.

Katanya, ia termasuk kenyataan media di India menuduh pihak di Malaysia bertindak ganas, tidak berperikemanusiaan, membunuh dan menyembelih orang.

"Ia adalah satu laporan bohong.., saya mahu tegaskan ia laporan yang palsu, laporan yang tidak tepat," jelas beliau.

Menurut beliau, satu memorandum berhubung insiden itu yang dihantar kepada wakil kedutaan Malaysia di Chennai, India, juga wajar ditolak sebagai menunjukkan bantahan kerajaan Malaysia.

"Ini memberi gambaran buruk kepada imej Malaysia, mereka tiada hak untuk mencampuri urusan dalam negara kita... lebih-lebih lagi kerana mereka berbohong.

"Perkara yang disiarkan media di sana (India) sudah menjadi viral dan kalau ia rakyat terpengaruh, ini akan memburukkan keadaan yang ada di dalam negara kita.

"Jadi kita bantah sekeras-kerasnya apa yang dilaporkan oleh media di India itu," tegasnya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India menerima satu memorandum daripada Presiden Hindu People's Party (Hindu Maakal Katchi), Arjun Sampth.

Memorandum itu secara dasarnya mengutuk insiden di kuil berkenaan dan menuduh 200 penganut Islam menyerang kuil dan penganut Hindu yang mempertahankan kuil itu.

Memorandum turut menuduh kerajaan Malaysia bersikap berat sebelah dan tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani insiden berkenaan.

Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan itu yang dianggap dibuat tanpa usul periksa dan tidak bertanggung jawab serta berniat jahat untuk mengeruhkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan India.

Hindu Maakal Katchi adalah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di Tamil Nadu, India.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 7:22 PM