Suasana tenang di Kuil Maha Mariamman Seafields Subang Jaya pada jam 5 petang hari ini  sambil Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal. FOTO Zunnur Al Shafiq
Suasana tenang di Kuil Maha Mariamman Seafields Subang Jaya pada jam 5 petang hari ini sambil Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal. FOTO Zunnur Al Shafiq
Wartawan NSTP

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membentangkan kronologi insiden rusuhan dan pergaduhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Isnin lalu.

Pembentangan bermula jam 12 tengah hari yang mengambil masa kira-kira 15 minit itu, dibacakan di Dewan Rakyat dan turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kronologi itu diikuti dengan kenyataan khas membabitkan insiden terbabit.

26 November

2.40 pagi - Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan orang awam mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.

Sejurus laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya mengarahkan semua unit di lapangan ke tempat kejadian.

2.50 pagi - Empat kenderaan pelbagai guna (MPV) polis tiba di tempat kejadian tetapi dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India.

Cermin belakang sebuah MPV dipecahkan manakala sebuah treler diletak melintang menghalang jalan menghala ke kuil.

3.30 pagi - Ketua Polis Daerah Subang Jaya menghubungi pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan IPD Serdang untuk mendapatkan bantuan tambahan anggota.

4 pagi - Bantuan IPD Serdang dengan kekuatan seorang pegawai dan 99 anggota tiba di tempat kejadian.

Berlaku pergaduhan di dalam kuil antara kumpulan penganut agama Hindu dan kumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kawasan kuil.

Sebahagian daripada kumpulan lelaki Melayu dikesan melarikan diri dari kawasan kuil.

Kumpulan penganut agama Hindu kemudian membakar beberapa kenderaan dipercayai milik kumpulan lelaki yang menceroboh kawasan kuil.

4.38 pagi - Pasukan bomba menerima panggilan bantuan kebakaran.

5.03 pagi - Bomba tiba di tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.

5.30 pagi - Pasukan FRU tiba di tempat kejadian dengan kekuatan dua pegawai dan 201 anggota.

Keadaan di sekitar kuil mulai terkawal dan keadaan kembali tenang.

Susulan pergaduhan ini, tiga lelaki Melayu dan tiga lelaki India tercedera manakala seorang anggota polis turut cedera.

27 November

Awal pagi, dianggarkan 10,000 orang kaum India berkumpul di kawasan sekitar kuil. Selain merusuh, beberapa kenderaan dibakar kumpulan ini.

Anggota bomba yang berada berhampiran kawasan kuil cuba memadam kebakaran kerana rusuhan terhadap kenderaan milik bomba.

Seorang anggota bomba, Mohammad Adib Kassim dicederakan sekumpulan individu tidak dikenali. Beliau mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Kumpulan perusuh bergerak ke pejabat One City Development Sdn Bhd dan memecahkan dinding cermin bangunan, merosakkan peralatan dalam bilik pameran serta membakar beberapa kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 5:26 PM