SERAMAI 18 pasangan termasuk 14 saudara baharu diraikan pada Majlis Persandingan Perdana anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
SERAMAI 18 pasangan termasuk 14 saudara baharu diraikan pada Majlis Persandingan Perdana anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif


SERAMAI 18 pasangan, termasuk 14 saudara baharu diraikan pada Majlis Persandingan Perdana anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2018 di Taman Rempah, Melaka, malam tadi.

Majlis yang memperkenalkan budaya perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat, khususnya kepada pelancong itu dihadiri lebih 1,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang melihat warna-warni busana dan kemeriahan persandingan mega.

Peserta, Najihah Khalil, 28, bersyukur apabila majlis itu secara langsung merealisasikan hajatnya untuk bersanding bersama pasangan pilihan dari Nigeria, Abdul Rahman Abdullah, 31, yang dikahwininya sejak tiga tahun lalu.

“Kami berkenalan melalui laman sosial Instagram dan kebetulan masa itu kami duduk di kawasan yang sama. Alhamdulillah, kami sudah pun bernikah sejak tiga tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia setahun setengah.

“Apabila adanya peluang seperti ini dapat jugalah kami berasa untuk bersanding di atas pelamin dan pakai baju pengantin.. Saya lihat suami teruja untuk mengenal dengan lebih dekat budaya di sini,” katanya yang akan ke Nigeria tidak lama lagi.

Bagi Noasyikin Abu Bashah, 51, dia bersyukur apabila pilihan hatinya yang juga seorang usahawan, Mohd Daniel Wilson direstui anak, malah keluarga turut bersama meraikan pada hari persandingannya.

“Pada tahun 2012 kami berkenalan menerusi laman sosial dan selepas dua tahun kami bernikah. Bagaimanapun, suami yang juga warga Nigeria terlebih dulu memeluk Islam.

“Apa yang diharapkan, perkahwinan ini kekal dan saya bersyukur kerana semuanya merestui dan suami pun dapat menerima anak saya seperti anaknya juga. Pengalaman bersanding beramai-ramai ini tidak akan saya lupa sampai bila-bila,” katanya yang tinggal di Bukit Baru.

Pada majlis itu, semua pasangan pengantin dan ahli keluarga masing-masing dibawa mengelilingi Sungai Melaka dengan menaiki bot berhias ‘Mendam Berahi’ bagi menikmati keindahan bandar Melaka pada waktu malam.

Sementara itu, Pendaftar Mualaf MAIM, Muhammad Leow Abdullah berkata, program yang mendapat kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu sudah diadakan sejak 2012.

“Program ini secara tidak langsung dapat membantu dalam mengurangkan beban pasangan dari segi kos yang tinggi untuk membuat majlis perkahwinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 1:31 PM