Amir Mamat

MASYARAKAT Melayu dan Islam di sekitar Serkam, di Jasin diminta bertenang serta tidak mengambil tindakan sendiri berhubung penemuan ketulan daging dipercayai daging babi di perkarangan dua surau di kawasan itu, pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, ini kerana pihak polis sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan yang menimbulkan kemarahan masyarakat itu.

“Dalam situasi sekarang, saya meminta semua umat Islam dan bukan Islam supaya bertenang dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Ramai yang menghubungi meminta saya mengambil peranan menyelesaikan hal ini kerana isu ini tidak perlu berlaku di kawasan Serkam.

“Bagaimanapun, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan sentiasa bersedia memberikan kerjasama dalam memastikan keharmonian rakyat sentiasa terjaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, dua surau di Serkam dicampak daging babi oleh individu tidak bertanggungjawab, dipercayai mahu menduga kesabaran masyarakat Islam.

Kejadian pertama disedari berlaku di Surau Kampung Bukit Serkam oleh penduduk yang mahu menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5 pagi, manakala di Surau An Nur Ladang Serkam pula disedari pekerja pembersihan kira-kira jam 8 pagi.

Terdapat beberapa kertas nota diletakkan berhampiran daging babi berkenaan.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab itu dan menganggap ia sebagai satu provokasi murahan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, berkata pihak berkuasa perlu segera mengesan pihak berkenaan kerana khuatir perkara sama berulang di rumah ibadat lain, sekali gus boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan orang Islam.

“Perbuatan ini adalah satu bentuk penghinaan kepada institusi agama apabila tempat ibadat itu sengaja dicemari oleh daging babi yang begitu sensitif kepada umat Islam.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin mengecam perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dan menggesa kerajaan negeri serta polis mengambil tindakan secara tuntas.

“Kami tidak akan berkompromi kepada sesiapa sahaja yang melakukan provokasi murahan untuk menggugat ketenteraman rakyat. Kami bertekad untuk mempertahankan keamanan bumi Malaysia ini walau apa jua yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 6:01 PM