KERETA jenis Citroen Berlingo 2.0 musnah dalam kebakaran di Kilometer 276, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Plaza Tol Nilai, Bandar Baru Nilai. FOTO Ihsan Bomba
KERETA jenis Citroen Berlingo 2.0 musnah dalam kebakaran di Kilometer 276, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Plaza Tol Nilai, Bandar Baru Nilai. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENIAGA minyak wangi terselamat apabila kereta Citroen Berlingo yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Kilometer 276, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Plaza Tol Nilai, Bandar Baru Nilai, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, kejadian 10.09 pagi itu berlaku ketika peniaga yang berusia 40-an terbabit dalam perjalanan dari Mambau dekat sini, ke Bangi.

Beliau berkata, lelaki itu yang bersendirian ketika kejadian berlaku, membawa 96 botol minyak wangi untuk dihantar ke kiosk jualan selain diserahkan kepada pelanggan.

“Sebaik tiba di lokasi, lelaki itu terhidu asap yang keluar melalui pendingin hawa disusuli percikan api pada bahagian enjin. Dia sempat memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan sebelum keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Syazwan berkata, dua pegawai peronda PLUS yang melakukan rondaan di kawasan itu menyedari kereta berkenaan terbakar lalu melaporkan kejadian itu kepada bilik gerakan yang kemudian menghubungi bomba.

“Tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian dan api dapat dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian. Kereta itu bagaimanapun terbakar sepenuhnya. Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 2:37 PM