MAIMUNAH melihat anaknya Mohd Ismizi Mat Ishak, 28, memasukkan keli ke dalam tong selepas dipancing di Sungai Gadek, Alor Gajah, hari ini. Foto HASSAN OMAR
MAIMUNAH melihat anaknya Mohd Ismizi Mat Ishak, 28, memasukkan keli ke dalam tong selepas dipancing di Sungai Gadek, Alor Gajah, hari ini. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


SEBANYAK 150 ekor ikan keli berjaya dipancing dalam tempoh 90 minit menggunakan umpan perut ayam sehari selepas kejadian banjir melanda Kampung Gadek Dalam, Alor Gajah, hari ini.

Kejadian banjir berikutan hujan lebat tengah malam kelmarin itu menyebabkan air dari hulu sungai mengalir deras membawa pelbagai jenis ikan terutama keli hingga ke kawasan hilir di kampung berkenaan.

Ia adalah ‘rezeki’ anugerah Allah SWT kepada penduduk terutama yang terletak berhampiran kawasan kampung dilanda banjir sejak awal pagi semalam.

Tinjauan NSTP di Sungai Gadek di Kampung Ganun berhampiran Pusat Rekreasi Air Panas Gadek mendapati ia dipenuhi kaki pancing sama ada dari daerah ini dan beberapa daerah lain termasuk dari Tampin, Negeri Sembilan.

Mohd Ismizi Mat Ishak, 28, berkata dia memperoleh kira-kira 150 ekor ikan keli hanya dalam tempoh 90 minit memancing mulai jam 10 pagi tadi.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan rezeki melimpah-ruah yang tidak pernah saya nikmati sebelum ini.

“Ini kali pertama saya mendapat ikan yang banyak hanya dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui memancing di Sungai Gadek, Alor Gajah.

Maimunah Abdul Rahman, 57, berkata dia bersama tiga anak lelaki dan seorang menantu perempuan serta empat cucu datang ke sungai itu sejak jam 9 pagi semata-mata mahu menikmati keseronokan menyentap joran yang disambar ikan.

“Alhamdulillah, kejadian banjir macam ini memang banyak keli turun dari hulu sungai ke hilir dan kami tidak bercadang menjualnya.

“Kami akan mengagih-agihkannya kepada jiran di Kampung Kuala Ina, Tampin,” katanya.

Katanya, dalam tempoh dua jam sahaja, ketiga-tiga anak lelakinya berjaya memancing kira-kira 100 ekor ikan keli yang setiap seekor seberat antara 600 gram hingga 2.5 kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 4:55 PM