Farah Suhaidah Othman


POLIS menahan empat suspek termasuk dua wanita berhubung kes penemuan mayat rentung dipercayai mangsa bunuh dalam kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan, semalam.

Mayat lelaki dipercayai berketurunan Cina itu ditemui penduduk yang melalui kawasan itu pada 8.45 pagi.

Siasatan awal polis mendapati kes itu bermotifkan masalah peribadi membabitkan teman wanita.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, dua suspek lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 37 tahun ditahan di beberapa lokasi di daerah Hilir Perak.

Katanya, tangkapan dibuat sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dalam operasi bermula 2 petang hingga 8 malam tadi.

“Kita percaya dengan tertangkapnya semua suspek, kita berjaya menyelesaikan kes ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak di Bilik Mesyuarat Utama, IPK Perak di Ipoh, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan masalah peribadi membabitkan teman wanita.

“Semua suspek direman tujuh hari. Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, dilaporkan berkata, siasatan mendapati mayat mangsa berada di tempat duduk penumpang hadapan di sebelah kiri dalam keadaan terbakar keseluruhan dan identitinya belum dikenal pasti.

Polis percaya mangsa dibawa dari tempat lain dan dibakar di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Misteri mayat rentung dalam kereta

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 1:09 PM