FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 35 anggota Geng Jin Jee Tong yang sebelum ini didakwa menjadi ahli pertubuhan haram itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang menggunakan kuasa memohon kes dihadapi semua tertuduh untuk dilepas tanpa dibebaskan.

Ia dibuat mengikut peruntukan Seksyen 376 dan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) serta Seksyen 145 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, semua lelaki berusia antara 20-an hingga 60-an itu mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) iaitu menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Mereka adalah Seow Hwee Kiang, Lee Boon Hui, Fung Ka Siong, Chua Kah Tat, Mah Jia Fei, Lai Kah Fei, Wilson Chua Yue Hua, Lim Wen Hao, Eugene Chiam Tow Shen, Chan Chun Fei, Benny Chang Xin Hao, Lau Fook Soon, Liew Yun Choy, Jacky See Jiin Long, Ng Zhen Lun, Ng Soon Kiat dan Lim Heng Kiaw.

Turut dilepas tanpa dibebaskan ialah Sau Kah Kwee, Ong Hwee Hau, Lew Kai Yann, Kok Kat Ting, Koh Xian Ming, Lim Thiam Poon, Eric Mah Wai Soon, Tan Hong Chai, Tan Chee Hong, Gan Jia Ji, Yip Kah Hoo, Fong Ling Chiow, Leong Zhong Hen, Koh Suei Chuan, Woon Kian Hui, Lee Choon Seng, Jimmy Seah Thian Heng dan Wong Siau Boon.

Pada prosiding itu, dua anggota geng berkenaan masing-masing didenda RM5,000 selepas mereka mengaku bersalah bagi pertuduhan yang sama.

Jing Wei dan Xiang Wei turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 20 bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi perbuatan yang dilakukan di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru pada tarikh berasingan tahun ini, semua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 12 September lalu, seramai 40 ahli geng berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan pindaan menjadi ahli kumpulan geng itu.

Ia dibuat selepas pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Roslan Mat Nor mengemukakan pertuduhan pindaan itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Sebelum ini, semua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Jin Jee Tong.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yap Boon Chuan dan Leong Wen Hao tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana mendapat kebenaran cuti sakit, manakala B Dinesh tidak hadir kerana ditahan oleh polis di Ipoh bagi kes berlainan.

Oleh itu, mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula bagi tiga tertuduh terbabit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala peguam yang mewakili tertuduh adalah Datin Freda Sabapathy, Sukaimi Mashud dan Mohd Daud Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:45 PM