ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Junita Mat Rasid


LAPAN lelaki termasuk empat juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kou Kuang 1, Taman Ungku Tun Aminah, pertengahan bulan ini.

Semua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh, Lim Zhi Hao, 23, Ko Boon Hao, 20, Lim Chim Hoang, 18, dan Wong Jiunn Woei, 18, bersama empat juvana berusia antara 15 hingga 17 tahun didakwa terbabit dalam ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan melakukan bunuh serta menyebabkan kematian Chia Min Yong, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 11 November lalu.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah yang sama, Chim Hoang menghadapi satu lagi pertuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang remaja berusia 15 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, seorang juvana berusia 17 tahun turut didakwa atas pertuduhan menyembunyikan sebilah pisau lipat hitam berukuran 18 sentimeter dengan niat untuk mengelakkan seorang lagi juvana berusia 17 tahun daripada dikenakan tindakan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara di mahkamah berasingan, dua remaja berusia 18 tahun dan empat juvana berusia 14 dan 15 tahun mengaku tidak bersalah atau pertuduhan menyertai rusuhan dan memiliki senjata yang boleh digunakan menyerang, dalam kejadian di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, semua didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Noor Aisyah Ahmad juga menetapkan 19 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula dan semua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan antara RM1,500 dan RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 2:59 PM