SEMBILAN individu didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Jackie' di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim
SEMBILAN individu didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Jackie' di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim
Mary Victoria Dass


SEMBILAN individu termasuk dua warga asing berusia antara 24 hingga 51 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Jackie di bandar raya ini.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 November 2017 hingga 28 November 2019.

Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Jackie dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi dua puluh 20 tahun.

Semua tertuduh itu termasuk dua perempuan tempatan iaitu Fong Yan Ching, 34, dan Wong Yoke Moy, 51, warga Thailand, Arnon Boonrod, 26, dan warga Bangladesh, Md Jhaidul Islam, 31.

Lima lelaki tempatan turut dituduh iaitu Chong Jin Xiong, 24, Chang Soon Fah, 31, Wong Teck Kwang, 37, Go Boon Keong, 42, dan Tay Boon Soon, 47.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamaruddin Kamsun namun tiada pengakuan direkodkan.

Segelintir tertuduh didapati memiliki tatu di tubuh dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dan mohon dibicarakan.

Beberapa ahli keluarga dan rakan tertuduh turut mengikuti prosiding.

Kamaruddin kemudian menetapkan 23 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman dan Nadia Zulkefli.

Peguam bela, Abd Rahim Ali dan Jihad Syahida Nadia Zakaria mewakili Soon Fah; Boon Keong dan Teck Kwang manakala Mohd Ashram Zakaria mewakili Yoke Moy.

Tertuduh lain masih belum melantik peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:03 PM