Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada tuduhan membunuh dan bersubahat melakukan jenayah bunuh seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu terhadap Gan Jia Ji, 22, Yip Kah Hou, 26, dan Woon Kian Hui, 25, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes itu.

Shahnaz dalam penghakiman di akhir pendakwaan berkata, terdapat beberapa alasan yang menyebabkan kesemua tertuduh dilepas dan dibebas.

"Mahkamah mendapati bukti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kabur dan tidak jelas untuk mengaitkan ketiga-tiga tertuduh dalam kes ini.

"Bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil juga tidak sepadan dengan darah yang ditemui di lokasi, selain tiada siasatan dilakukan terhadap bukti alibi.

"Pendakwaan juga gagal mengaitkan kereta BMW yang didakwa digunakan tertuduh untuk melakukan jenayah berkenaan," katanya ketika membacakan penghakimannya.

Mengikut kertas pertuduhan, Gan, selaku tertuduh pertama didakwa bersama lima suspek yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Tan Aik Chai, 44, pada 7.30 malam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, 17 Disember 2017.

TIGA lelaki dilepas dan dibebaskan dari tuduhan membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu. FOTO Zain Ahmed.
TIGA lelaki dilepas dan dibebaskan dari tuduhan membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu. FOTO Zain Ahmed.

Bagi kesalahan itu, Gan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Yip dan Woon, selaku tertuduh kedua dan ketiga pula didakwa didakwa bersama dua lagi yang masih bebas bersubahat dengan Gan dan lima lagi yang masih bebas melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Tan pada lokasi dan waktu sama.

Mereka pula didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suriani Ujang dengan Gan diwakili Datin S Freda, Che Azlin Farahannis Evani,Foo Fang Leong dan Veeranesh Babu.

Yip pula diwakili Chuah Shyne Chien manakala Woon diwakili Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani.

Sebanyak 22 saksi pendakwaan dipanggil dan 42 eksibit dikemukakan dalam perbicaraan yang dijalankan sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 1:08 PM