SULTAN Mizan Zainal Abidin (dua kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kiri) berkenan menyaksikan al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-16 di Kuala Nerus, malam tadi.
SULTAN Mizan Zainal Abidin (dua kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kiri) berkenan menyaksikan al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-16 di Kuala Nerus, malam tadi.
Baharom Bakar


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Bioteknologi Marin universiti itu menerima dana RM3.1 juta daripada China untuk melakukan penyelidikan dan inovasi.

Naib Canselor UMT, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata dana penyelidikan itu adalah hasil daripada jalinan rakan strategik dan kerjasama dengan 10 agensi dari dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, UMT menerima geran penubuhan ‘Guangdong Province Key Laboratory In Shellfish Research’ bernilai RM2.3 juta untuk penganjuran bersama konferensi antarabangsa.

“UMT dengan penuh keyakinan melebarkan jaringan dengan mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan Oseanografi dengan beberapa universiti di China termasuk Ocean Universiti Of China, Shantou Universiti dan Tianjin Universiti Of Science And Teknologi,” katanya kepada NSTP ketika ditemui pada majlis santapan sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-16 di Kuala Nerus, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis santapan itu.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN), Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Dr Nor Aieni berkata, Institut Oseonografi UMT selaku Regional Training Centre (RTC) yang dilantik untuk melaksanakan program Ocean Teacher Global Academy (OTGA) di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diberi mandat menganjurkan tiga kursus antarabangsa dalam bidang oseanografi.

Mengulas perkembangan terkini hasil penyelidikan di kawasan tanah bencah di Setiu, Dr Nor Aieni berkata, terdapat penemuan baharu selepas penyelidikan dilakukan.

Katanya, terdapat 33 spesis eksklusif paya bakau termasuk lima rekod baharu dan tiga spesies hibrid ditemui.

“Pasukan penyelidik menemui 108 rama-rama terdiri daripada 50 spesis baharu, 17 spesis baharu siput paya bakau dan 30 spesis tumbuhan hutan gelam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 10:59 AM