NOR AIENI mewakili UMT menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).  FOTO IHSAN UMT
NOR AIENI mewakili UMT menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR). FOTO IHSAN UMT
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah tersendiri apabila menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Universiti Pertama Memperoleh ISO 9001: 2015 (Sistem Pengurusan Kualiti).

Pengiktirafan itu diperoleh menerusi skop Pengurusan Latihan Berkaitan Kursus Pelesenan Selam Skuba, Perkhidmatan Pendidikan di Peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah, Pengurusan Penyelidikan dan Proses Sokongan Universiti.

Pengiktirafan itu membuktikan kesediaan UMT sebagai pusat selam skuba negara dengan mematuhi prosedur standard dunia.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, UMT dianugerahkan dua Pensijilan ISO iaitu ISO 9001:2015 (Quality Management System) bagi skop Perkhidmatan Pendidikan Di Peringkat Diploma dan Ijazah pada 17 Ogos 2018 sebelum turut dianugerahkan pensijilan ISO/IEC 27001:2013 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) pada 15 November 2018.

"Penganugerahan dua Pensijilan ISO pada 2018 itu merupakan satu pengiktirafan dan kejayaan yang sangat membanggakan UMT.

"Bagi meneruskan dan membuktikan bahawa UMT mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang terbaik secara menyeluruh, kedua-dua pensijilan ISO itu diperluaskan skopnya meliputi keseluruhan perkhidmatan di UMT pada 2019 .

"Alhamdulillah, pada 21 Oktober 2019, pihak SIRIM International Sdn Bhd melalui Audit Pemantauan Dua meluluskan peluasan skop ISO 9001:2015 iaitu,

Perkhidmatan Pendidikan di Peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah, Pengurusan Penyelidikan dan Proses Sokongan Universiti dan

Pengurusan Latihan Berkaitan Kursus Perlesenan Selam Skuba," katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan MBOR di UMT, hari ini.

Nor Aieni berkata, pensijilan ISO/IEC 27001:2013 juga diluluskan perluasan skopnya pada 1 Oktober 2019 meliputi Pengurusan Keselamatan Maklumat

Penuntut, Kakitangan, Kewangan dan Perakaunan dan Penyelidikan.

"Pihak UMT sangat berbangga kerana kelulusan peluasan skop pensijilan ISO 9001:2015 itu julung kali mengiktiraf Pengurusan Latihan Berkaitan Kursus Perlesenan Selam Skuba.

"Ia menjadi titik tolak ke arah penggunaan standard perekodan dalam pengendalian program pelesenan skuba serantau selain menjadi contoh kepada pusat selam dalam negara ke arah persediaan dalam mematuhi prosedur standard skuba dunia.

"Melalui pensijilan ISO ini juga, ia membuktikan keupayaan UMT dalam menyediakan perkhidmatan selam skuba terunggul yang dapat memenuhi keperluan dan meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan," katanya.

Menurutnya, rentetan kejayaan itu UMT mendapat pengiktirafan Pemegang Rekod The Malaysia Book of Records sebagai "Universiti Awam Pertama Memperoleh ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:49 PM