Kuala Terengganu: Enam penyelidik yang juga pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta kejayaan menerusi pengiktirafan pelbagai pingat dalam Pameran Penyelidikan Antarabangsa (ITEX’15) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, UMT memperoleh pingat untuk semua penyertaan produk yang dipertandingkan, sekali gus satu pencapaian membanggakan seluruh warga universiti berkenaan.

Katanya, UMT menetapkan penyertaan bagi penyelidikan yang berkualiti dan memberi fokus kepada masyarakat serta komuniti pesisir pantai khususnya yang dapat membantu kelompok dalam meningkatkan pendapatan, memelihara kesejahteraan kehidupan serta melindungi kelestarian alam.

“Konsep penyertaan UMT pada tahun ini untuk mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi selaras seruan kerajaan bagi mengukuhkan hala tuju serta kawalan pengurusan penyelidikan sempena Agenda Transformasi Penyelidikan dan Inovasi (P&I),” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pada ITEX’15, Dr Helena Khatoon memperoleh dua pingat emas bagi kategori agrikultur untuk penyelidikannya bagi membantu nelayan menambah pendapatan sampingan dengan memelihara ketam dan ikan dalam akuarium.

Seorang lagi penyelidik UMT, Dr Yeong Yik Sung mendapat dua pingat emas untuk kajiannya terhadap makanan tambahan kepada ternakan agrikultur dan juga keperluan makanan hidup kepada produk akuakultur.

Penyelidik universiti berkenaan Dr Norizah Mhd Sarbon pula meraih pingat perak menerusi penyelidikannya mengenai ais krim yang diproses dengan menggunakan kaedah teknologi penapaian dan dihasilkan daripada tapai ubi.

Bagi kategori Materials, Mohd Hasmizan Razali menerima pingat perak untuk produknya yang membantu menyelesaikan pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran air dan udara.

Prof Dr Wan Mohd Norsani Wan Nik pula mengutip gangsa bagi penyelidikan yang dapat membantu melambatkan proses pengkaratan terhadap besi melalui penghasilan produk menggunakan teknik sapuan atau semburan yang dicampur bahan ketiga seperti cat.

Seorang lagi wakil UMT, Dr Noraida Ali mendapat pingat perak bagi produk ‘Videxa: A tool for cybercrime’ bagi kategori Teknologi Maklumat dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:44 AM