DARI kiri Zatul Iffah, Baharom, Rosli, Ghazali, Mohammad Ishak, Nazdy, Zaid Salim dan Aslina   bersama sijil penghargaan pada Majlis Malam Apresiasi Media UMT 2018.
DARI kiri Zatul Iffah, Baharom, Rosli, Ghazali, Mohammad Ishak, Nazdy, Zaid Salim dan Aslina bersama sijil penghargaan pada Majlis Malam Apresiasi Media UMT 2018.
HM Digital

Kuala Terengganu: Akhbar kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) menang besar malam kelmarin apabila membolot 10 kategori anugerah termasuk tiga Anugerah Khas Juri pada Malam Apresiasi Media Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2018.

Ketua Biro NSTP, Rosli Zakaria, wartawan NSTP, Zatul Iffah Zolkiply bersama wartawan sambilan Nazdy Harun dan Aslina Abu Bakar menerima tiga Anugerah Khas Juri.

Rosli menerima Anugerah Khas Juri itu atas kecemerlangannya sebagai wartawan kanan manakala Zatul Iffah dan Nazdy menerusi penulisan berita bertajuk Sumber Perikanan Pulihara Ekosistem yang disiarkan di Harian Metro. Aslina pula menerima Anugerah Liputan Berita Terbanyak.

Wartawan NSTP, Adrian David memenangi Anugerah Penulisan Berita Pendidikan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi artikel disiarkan di akhbar NST sementara wartawan sambilan NSTP, Mohammad Ishak pula memenangi Anugerah Penulisan Berita Pendidikan Bahasa Melayu Terbaik menerusi artikel disiarkan di Berita Harian.

Selain itu, wartawan sambilan NSTP, Baharom Bakar dan Nurul Jannah Anam pula masing-masing memenangi Anugerah Penulisan Berita Penyelidikan Terbaik menerusi artikel disiarkan di Berita Harian.

Wartawan NSTP, Rozana Sani dan Rozita Alias pula memenangi Anugerah Penulisan Berita Penyelidikan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi artikel disiarkan di NST.

Jurugambar NSTP, Ghazali Kori pula memenangi Anugerah Foto Terbaik.

Dengan kemenangan itu, semua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta sijil yang disampaikan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Sementara itu, Dr Nor Aieni berkata, sepanjang 2017, 794 liputan media di akhbar utama edisi timur dan nasional dengan nilai berita (PR Value) berjumlah RM16.8 juta memberi kesan langsung dalam pemerkasaan citra UMT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 11:09 AM