WAKIL UMT dan Sendai College.
WAKIL UMT dan Sendai College.
Fazurawati Che Lah

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama dengan Sendai College, Jepun untuk kemajuan institusi pengajaran dan pembelajaran di antara kedua-dua institusi pengajian berkenaan.

Hubungan yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu bermula apabila dua pelajar UMT dari jurusan Sarjana Muda Sains (Sains Kimia) iaitu Foong Shin Ying dan Nur Zafirah Mohd Izham menjalani Latihan Industri (LI) di universiti berkenaan pada 2017.

Sepanjang latihan itu, mereka turut didedahkan dengan kerja makmal, instrumen dan budaya kerja di institusi Jepun.

DR NOR AIENI menandatangani dokumen perjanjian bagi pihak UMT manakala Dr Hiroshi mewakili Sendai College.
DR NOR AIENI menandatangani dokumen perjanjian bagi pihak UMT manakala Dr Hiroshi mewakili Sendai College.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, melalui kerjasama itu diharap pelbagai inisiatif dapat digerakkan untuk manfaat kepada pelajar dari sudut penyelidikan bersama, pendedahan dan amalan terbaik dan penggunaan instrumen yang tiada di institusi masing-masing.

“Kolaborasi julung kali ini turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang pengantarabangsaan, sains marin dan alam sekitar iaitu kerjasama di antara Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan Sendai College,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu, baru-baru ini.

Majlis itu menyaksikan Dr Nor Aieni menandatangani dokumen perjanjian bagi pihak UMT, manakala Pengerusi Sendai College, Prof Dr Hiroshi Fukumura mewakili Sendai College.

Dr Nor Aieni berkata, program Pertukaran Siswa atau Sekolah Musim Panas pelajar UMT ke Sendai College terutama untuk pelajar tahun akhir turut direncanakan bagi memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada mahasiswa.

Katanya, kerjasama itu juga dapat diperluaskan dalam bidang akademik lain dengan pembabitan dari institusi berpotensi lain yang membawa kebaikan di samping tumpuan dalam memajukan bidang pendidikan.

“Diharap perwakilan dan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA) serta pasukan Penyelidikan Mikroplastik (MIRG) melakukan perbincangan lanjut yang boleh membawa kepada kerjasama seterusnya mendapatkan geran antarabangsa atau nasional dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 1:02 PM