ABDUL Aziz
ABDUL Aziz

Kuala Nerus: “Ini adalah penghormatan berharga bagi saya,” kata Panglima Tentera Laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau dianugerahkan ijazah kehormat Kedoktoran Pengurusan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atas sumbangan beliau dalam bidang keselamatan ketenteraan maritim di negara ini.

Penganugerahan itu disempurnakan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT di Dewan Sultan Mizan UMT di Gong Badak, di sini, semalam, sempena Majlis Konvokesyen ke-13 universiti itu.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Abdul Aziz berkata, penganugerahan itu juga sebagai penghargaan kepada TLDM yang sentiasa menjalinkan kerjasama dengan UMT baik dari segi penyelidikan, pendidikan dan kokurikulum pelajar.

“TLDM sudah lama bekerjasama dengan UMT bukan saja dalam bidang penyelidikan, malah kami menghantar ramai anggota TLDM menyambung pengajian di universiti ini.

“Selain itu, TLDM membuka ruang lebih luas melalui beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui bersama kerana UMT antara universiti yang mempunyai kemahiran cukup luas dalam bidang kelautan bertepatan dengan kehendak TLDM,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, semalam.

Selain itu, TLDM bekerjasama meningkatkan jumlah tenaga pakar dan anggota untuk membantu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Laut UMT memperoleh latihan lebih baik.

“Kerjasama sepanjang masa ini sememangnya memberi manfaat cukup besar bukan saja kepada TLDM, malah universiti dan pelajar sendiri,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, pihaknya berbesar hati menganugerahkan ijazah kehormat kepada Abdul Aziz yang sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab kepada negara dan universiti.

“Saya berharap melalui pengiktirafan ini dapat menguatkan lagi ikatan antara UMT dan TLDM,” katanya.

Majlis konvokesyen semalam menyaksikan 2,473 graduan membabitkan 138 pemegang sarjana, 29 ijazah kedoktoran (PhD); 2,201 ijazah sarjana muda dan 105 graduan diploma.

Majlis berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:17 AM