KETULAN kristal dipercayai syabu yang dirampas anggota polis. FOTO ihsan Polis
KETULAN kristal dipercayai syabu yang dirampas anggota polis. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEGIATAN peniaga yang turut menjadi pengedar syabu untuk hidup mewah terbongkar selepas kediaman mereka di Merdang Garden, Kota Samarahan, diserbu polis, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 1.10 tengah hari hasil risikan dan maklumat awam sejak beberapa hari lalu.

Dalam serbuan itu juga, polis menahan lelaki berusia 37 tahun bersama isterinya berusia 36 tahun masing-masing berasal dari Batu Kitang.

Hasilnya, polis merampas ketulan kristal dipercayai syabu seberat 544 gram yang dianggarkan bernilai RM81,656 yang disorokkan suspek di dalam rumahnya.

Ketua JSJN IPK Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, ketika serbuan dijalankan, suspek berada di luar rumah sebelum pemeriksaan lanjut yang dijalankan tidak menemui sebarang dadah.

Menurutnya, polis kemudian dibawa ke dalam rumah dan pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui ketulan kristal dipercayai syabu di simpan suspek.

"Dadah yang ditemui dibungkus suspek dalam 32 plastik lutsinar dipercayai bersedia untuk dijual kepada penagih di sekitar daerah ini selain satu plastik lutsinar lain yang mempunyai dadah jenis sama.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai sudah menjalankan kegiatan haram ini sejak setahun lalu namun dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahar berkata, polis turut merampas tiga kenderaan milik suspek iaitu Toyota Estima, Isuzu D-Max dan Perodua Myvi bersama wang tunai RM9,600 dan gelang emas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM169,080.

Tambahnya, dengan penahanan suspek polis percaya dalam menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran syabu di Kuching namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan diperoleh suspek.

"Suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:05 PM