PERALATAN memotong barang lusuh yang dirampas polis.
PERALATAN memotong barang lusuh yang dirampas polis.
Ahmad Ismail

Segamat: Lima lelaki yang sibuk meruntuhkan sebuah kilang papan tinggal untuk dijadikan barangan lusuh terkedu ketika didatangi sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan Ops Lusuh di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, lima suspek lelaki warga tempatan berusia antara 27 hingga 47 tahun itu berpakaian seperti jurutera bangunan lengkap dengan topi dan kasut keselamatan.

Menurutnya, mereka mengatakan terpaksa meruntuhkan bangunan kilang papan yang tidak beroperasi itu kononnya atas faktor keselamatan apabila ditanya polis dalam kejadian jam 4.30 petang itu.

Raub berkata, Ops Lusuh diadakan dengan menyasarkan pemeriksaan ke atas 69 premis peniaga barangan lusuh berlesen di sekitar Segamat mulai 4 November lalu sehingga hari ini di bawah Akta Peniaga Barang Lusuh 1946.

“Pada masa sama, anggota turut melakukan pemeriksaan ke atas premis kosong yang tidak beroperasi kerana dibimbangi ia dijadikan sarang penagih dan juga membendung aktiviti gejala sosial lainnya selain memastikan tidak berlaku kecurian aset terbiar hingga barangan itu dijual sebagai barangan lusuh,” katanya.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis menemui enam tangki oksigen hitam untuk kegunaan memotong besi, tiga tong gas memasak, tiga hos untuk kegunaan pemotong berkuasa tinggi dari tangki oksigen, tukul besar, spanar dan alat meratakan besi.

“Beberapa kepingan besi dari tangki air turut dipotong dan beberapa potongan wayar tembaga dari pendawaian elektrik turut dirampas dengan nilai semuanya kira-kira RM6,000,” katanya.

Raub berkata, tindakan itu boleh menyebabkan musibah dan risiko tinggi kehilangan nyawa kerana memotong struktur bangunan tanpa pengetahuan kejuruteraan yang boleh menyebabkan mereka dihempap runtuhan tanpa diketahui umum kerana lokasi persekitaran yang penuh semak samun dan terpencil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:40 AM