KHAIRUL Azhar ketika hadir di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
KHAIRUL Azhar ketika hadir di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass


PENIAGA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada dua beradik yang juga sepupunya pada Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh Khairil Azhar Kamaludin, 25, dari Kota Tinggi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Mohd Suferi Muhamat Sahh dengan sebatang spanar paip.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di luar dewan Dataran Bandaraya Johor Bahru, jam 4.30 petang pada 28 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada Masni Muhamat Sahh menggunakan tangan di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Khairil Azhar yang mengangguk memahami pendakwaan kemudian mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abd Jalil Salam Muhamad, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Jason Tan Ka Yan.

Abd Jalil mencadangkan jaminan berjumlah RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Jason memohon ikat jamin dikurangkan berikutan tertuduh menanggung isteri dan seorang cahaya mata.

“Tertuduh juga adalah anak sulung dalam keluarga dan memiliki dua adik yang masih bersekolah,” katanya.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 1:10 PM