Alias Abd Rani


Muar: Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya gara-gara berang terhadap wanita itu yang tidak berbincang dengannya mengenai hantaran perkahwinan anak perempuannya, minggu lalu.

Abdul Haidi Omar, 51, yang berhadapan dua pertuduhan menampar dan menyepak isterinya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 47 tahun menggunakan kaki.

Pertuduhan kedua pula, dia sekali lagi didakwa mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan terhadap isterinya.

Semua kejadian berlaku di sebuah rumah di Jalan Pantai, dalam daerah ini, pada jam 9 pagi antara 21 hingga 22 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 326A, tertuduh boleh dikenakan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan ke atas sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen yang relevan, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 serta syarat agar tertuduh tidak mengganggu mangsa manakala pihak pembelaan memohon mahkamah mengenakan jaminan paling minimum dengan mengambil kira kedudukan kewangan tertuduh.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan, tidak boleh berhubung, mengganggu mangsa sehingga kes ini selesai.

Kes disebut semula pada 19 Februari ini untuk serahan dokumen serta status lantikan peguam tertuduh.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh didakwa menampar dan menyepak isterinya kerana marah wanita itu tidak berbincang dengannya mengenai hantaran perkahwinan anak perempuan pada 1 Januari lalu.

Tertuduh yang mendakwa, isterinya cuba membelakangkan dirinya apabila hanya membincangkan perkara itu dengan keluarga pengantin lelaki.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh marah lalu menyepak dan menampar isterinya. Satu laporan polis dibuat terhadap tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 23 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 2:46 PM
HAIDI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar menyepak dan tampar isteri kerana wang hantaran perkahwinan anak perempuannya. FOTO Alias Abd Ran
HAIDI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar menyepak dan tampar isteri kerana wang hantaran perkahwinan anak perempuannya. FOTO Alias Abd Ran