Harun yang juga tukang urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan cabur dan lucah. FOTOAlias Abd Rani
Harun yang juga tukang urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan cabur dan lucah. FOTOAlias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Seorang tukang urut yang pernah dituduh atas kesalahan rogol dan mendatangkan kecederaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan cabul dan kelucahan terhadap pesakitnya di sebuah rumah di Segamat, bulan ini.

Tertuduh, Harun Syed Hussien, 52, bagaimanapun tidak mengaku salah terhadap semua pertuduhan yang dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul mangsa berusia 15 tahun ketika mahu mendapatkan rawatan selepas mengalami sakit dalaman dengan kejadian berlaku di rumah mangsa di Segamat, jam 6.30 petang, 8 November lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama kerana bercakap lucah terhadap mangsa dengan semua kejadian, masa dan tempat berlaku di tempat sama.

Mengikut seksyen ini, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dengan mengambil kira kesalahan yang membabitkan mangsa bawah umur.

"Dalam kes ini, OKT (orang kena tuduh) rapat dengan ibu mangsa, justeru pihak pendakwaan memohon agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh," hujahnya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan 9 Januari depan sebutan semula kes, lantikan peguam tertuduh serta serahkan dokumen.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Labis setiap bulan serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa serta saksi pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:09 PM