NOR Fazmira dituduh mencederakan dan mengugut suaminya di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO Muhammad Lokman Khairi
NOR Fazmira dituduh mencederakan dan mengugut suaminya di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO Muhammad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengugut suaminya dalam satu pertengkaran, bulan lalu.

Difahamkan, pengadu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri setelah dipukul, disepak dan diugut dengan pisau oleh isterinya yang dipercayai tidak berpuas hati dengan rumah baharu.

Tertuduh, Nor Fazmira Kamaruss, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas suaminya, Haziq Abd Rahim, 30, di alamat No 5, Lorong 5 Taman Sri Murni, di sini pada 9 pagi, 26 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada suami yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara dua kali ganda daripada tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan di bawah seksyen yang berkaitan.

Bagi pertuduhan kedua, Nor Fazmira didakwa melakukan ugutan jenayah kepada suaminya dengan mengugut ingin menyebabkan kegentaran kepada suaminya yang bekerja sebagai pekebun kelapa sawit.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di alamat sama pada 7.04 pagi, 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwa dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farriz Minarwan Basarudin yang menawarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM1,000 dan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Sebutan semula kes 14 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 7:15 PM