Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Mahkamah Majistret hari ini membebaskan Ketua Setiausaha kementerian serta anak lelakinya selepas 11 hari direman bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa jawatan dan kedudukan dengan menerima rasuah.

Individu bergelar Datuk berusia 59 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM200,000 manakala, anak sulungnya berusia 34 tahun dibebaskan dengan jaminan RM25,000.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan pembebasan kedua-dua individu terbabit.

Terdahulu, Ketua Setiausaha kementerian itu dibawa ke mahkamah dan dilihat memakai baju kemeja lengan pendek bercorak belang serta berseluar hitam manakala, anaknya memakai baju kemeja lengan panjang serta berseluar jeans tiba jam 11 pagi diiringi pegawai SPRM.

Pada 4 Januari lalu, SPRM menahan Ketua Setiausaha kementerian itu di kediamannya di Subang Jaya, Selangor kira-kira 8 pagi manakala, kedua-dua anak lelakinya ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika diambil keterangan.

Hasil pemeriksaan hampir 12 jam di rumah suspek, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Turut dirampas 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

SPRM turut merampas sejumlah dokumen daripada peguam suspek di pejabatnya di Puchong yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.

Dua anak lelaki suspek yang turut ditahan dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan.

Bagaimanapun, anak lelakinya yang berusia 29 tahun dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 pada 11 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 12:34 PM
Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian dan seorang anak lelakinya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya selepas ditahan reman selama 11 hari dan dibebaskan bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian dan seorang anak lelakinya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya selepas ditahan reman selama 11 hari dan dibebaskan bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor