Siti A'isyah Sukaimi


TEMPOH reman setiausaha politik kepada seorang menteri dilanjutkan lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang peruntukan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berjumlah RM40 juta.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Nabila Abd Rashid di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini sehingga 7 Oktober ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek bergelar Datuk itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek diiringi pegawai SPRM ke mahkamah pada 9.30 pagi dan dilihat memakai baju lokap warna jingga manakala, tangannya bergari.

Harian Metro pada 28 September lalu melaporkan, seorang lagi 'orang besar' ditahan SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan dana RM40 juta yang disalurkan kepada PTPK.

Dia ditahan kira-kira 12.30 tengah hari ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Dia individu kelima yang ditahan selepas empat individu berusia 32 hingga 58 tahun termasuk Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk yang ditahan pada 13 September lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai PTPK itu dan seorang pengarah syarikat bergelar doktor ditahan selepas disyaki terbabit menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Berdasarkan maklumat awal, keempat-empat mereka dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta pada 2016 dan 2017.

Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM35 juta manakala RM40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program latihan.

Berita berkaitan

'Menteri kena soal lebih 10 jam'

Lebih ramai akan dipanggil

Richard Riot beri keterangan

Setiausaha politik menteri direman [METROTV]

Dibebaskan dengan jaminan

Direman seleweng hampir RM40 juta [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 11:22 AM
Suspek dibawa pegawai SPRM untuk mohon sambung reman. FOTO Abdul Rahim Rahmat
Suspek dibawa pegawai SPRM untuk mohon sambung reman. FOTO Abdul Rahim Rahmat