JONATHAN (tengah) berbual dengan Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Ketua Kontinjen negara, Datuk Nicol Ann David di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP
JONATHAN (tengah) berbual dengan Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Ketua Kontinjen negara, Datuk Nicol Ann David di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ramai dilihat mempersoalkan kemampuan Jonathan Wong untuk menyumbangkan pongat emas buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila atlet menembak negara itu menyatakan hasratnya meraih emas buat negara di temasya itu.

Namun, ia bukan sesuatu yang mustahil kerana dalam acara menembak apa saja boleh berlaku dan ia adalah sukan yang tidak memerlukan kekuatan fizikal untuk menang.

Malah jurulatih kepada Jonathan, Firdaus Abdul Rahim turut meluahkan keyakinan betapa Jonathan yang akan membuat penampilan kedua di temasya Olimpik itu mampu untuk melakar kejutan dengan membidik emas pertama buat negara.

Akan beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol, Jonathan dalam rangka persiapan untuk Paris 2024 kini berada di Azerbaijan dan akan menyertai satu lagi siri Piala Dunia di Munich, Jerman dari 31 Mei hingga 8 Jun.

"Saya menyatakan keyakinan emas itu berdasarkan potensi Jonathan sendiri. Saya tahu bila saya letakkan sasaran, orang akan cakap susah.

"Tapi dia konsisten dalam latihan melakukan bidikan 580 mata ke atas. Ia penting untuk seseorang penembak itu untuk mencapai sasaran di kejohanan utama nanti," katanya.

Mengulas mengenai prestasi Jonathan ketika ini, Firdaus berkata, Jonathan sekarang ini dalam proses pembikinan kerana ada sedikit perubahan dalam teknikalnya.

Menurutnya, ia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan memasukkan elemen itu di dalam latihan di Baku, Azerbaijan dari 6 hingga 18 Mei.

Katanya, Azerbaijan menjadi pusat latihan Jonathan di Eropah dan penembak negara itu akan menjalani latihan bersama-sama Olimpian negara terbabit.

"Jonathan masih pada landasan yang ditetapkan, namun memerlukan penambahbaikan dari segi psikologi dan taktikal.

"Kami masih mencari rentak sesuai dalam tiga kejohanan di Berlin, Baku dan Munich sebelum mencapai kemuncak pada tempat sepatutnya iaitu Olimpik Paris 2024," katanya.

Jonathan dijangka kembali semula ke tanah air sebelum berlepas ke Paris dan memulakan saingan di temasya dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Untuk rekod, Jonathan layak kali kedua ke Olimpik dan menempah slot ke Paris 2024 dalam acara 10m air pistol selepas menduduki tempat keempat dalam Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:36 PM