Antara individu yang ditahan dalam operasi AADK Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Antara individu yang ditahan dalam operasi AADK Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


IBU memberi alasan mengambil dadah kerana mahu mengekalkan stamina serta menahan diri daripada mengantuk untuk menjaga anak lelakinya yang mempunyai masalah saraf dan kekejangan.

Wanita itu ditahan bersama suami, adik perempuan serta abangnya yang masing-masing berusia 30-an di rumah mereka di Pantai Remis 11 malam tadi.

Empat sekeluarga itu antara 66 individu berusia 18 hingga 69 tahun dipercayai penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak dalam Operasi Perdana di beberapa sarang penagihan dadah di Pantai Remis, Beruas dan Lekir, Sitiawan.

Difahamkan, anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun tidak boleh berjalan dan ketika berada di pejabat AADK Manjung kanak-kanak lelaki itu mengalami kekejangan badan beberapa kali.

Keadaan kanak-kanak itu yang memerlukan penjagaan rapi dijadikan alasan untuk ibunya mengambil dadah jenis methamphetamine.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Perak, Zaini Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan mendakwa baru tiga bulan terjebak dengan dadah malah dia dan adik perempuannya dipengaruhi suaminya yang sudah lama terbabit dalam aktiviti itu.

Menurutnya, abang wanita itu juga mempunyai rekod dengan AADK dan mereka tinggal serumah serta kerap mengambil bahan terlarang bersama namun mendakwa tidak melakukannya di hadapan anak serta ahli keluarga lain.

“Pasangan suami isteri dan dua ahli keluarganya itu antara 66 individu membabitkan 62 lelaki dan empat wanita yang ditahan selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis opiat, ganja dan methamphetamine.

“Turut dirampas peralatan menghisap dadah dan senjata tajam iaitu parang panjang, kerambit serta kapak yang dirampas di beberapa lokasi serbuan namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Beberapa botol dipercayai mengandungi air ketum dan empat pokok ketum turut ditemui di dua rumah di Sitiawan dan Pantai Remis,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Manjung, hari ini.

Katanya, operasi yang dijalankan bermula jam 6 pagi semalam sehingga 4 pagi hari ini mensasarkan kebun sawit dan rumah yang dijadikan sarang penagihan dadah.

“Seramai 65 orang disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 serta seorang lagi yang melanggar syarat pengawasan mengikut Sub Seksyen 6(2) APD 1983 dan semua tahanan dihantar ke Pusat Tahanan Reman (PTR) Batu Kurau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 3:34 PM