AMIRA Mohamad Amin bersama anaknya, Nur Ainin Sofea Mohd Mahazir, 13, turut mengamalkan makanan sunnah dalam membantu mengurangkan kesakitan yang dialaminya selepas disahkan menghidap kanser otak. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
AMIRA Mohamad Amin bersama anaknya, Nur Ainin Sofea Mohd Mahazir, 13, turut mengamalkan makanan sunnah dalam membantu mengurangkan kesakitan yang dialaminya selepas disahkan menghidap kanser otak. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


GURU wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih di Kuantan, pasrah apabila dia disahkan masih lagi menghidap kanser otak walaupun sudah menjalani dua pembedahan membuang ketumbuhan pada 2004 dan tahun lalu.

Ini berikutan dua lagi tumor baharu dikesan menjadikan lima biji tumor yang masih ‘menemani’ guru berkenaan, Amira Mohamad Amin, 37.

“Sekarang saya masih menunggu keputusan pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menentukan sama ada saya akan menjalani rawatan radioterapi atau pembedahan membuang tumor itu.

“Dalam situasi sebegini, saya hanya mampu berserah kepada Allah SWT selain mengamalkan makanan sunnah serta ubat yang dibekalkan pihak hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Kuantan, Kuantan, hari ini.

Menurutnya, pembedahan kali pertama dijalankan pada 17 Disember 2004 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur iaitu sehari selepas melangsungkan perkahwinan dan kedua pada 27 Julai 2017 di HTAA.

Selepas pembedahan kali pertama, Amira menjalani rawatan fisioterapi selama enam bulan di HUKM berikutan kaki dan tangan kirinya lemah selepas pembedahan.

Katanya, pada pembedahan kali kedua pula, dia berdepan risiko yang lebih serius apabila ada empat tumor yang dikesan dan doktor mengambil keputusan untuk membuang satu sahaja kerana tiga lagi berada terlalu hampir dengan pembuluh darah dan menghimpit otaknya.

Katanya, pembedahan pada mulanya dilakukan pada 25 Julai 2017 tetapi terpaksa dihentikan kerana berlaku pendarahan serius dan dia berada dalam keadaan kritikal ketika itu.

“Saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari dan tambah darah sehingga 10 beg sebelum pembedahan semula dilakukan pada 27 Julai 2017 yang berlangsung selama 14 jam.

“Memang berat dugaan yang saya hadapi kerana pembedahan menjadikan badan saya lemah, daya ingatan terjejas, mata kabur dan sakit berbisa di bahagian kepala (kerana masih ada tumor yang belum dibuang),” katanya.

Amira juga sudah menjalani rawatan radioterapi sebanyak 33 kali selama dua bulan setengah bermula pada 21 Mac hingga 8 Mei lalu untuk mengecutkan tumor di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Amira, dia hanya mengetahui menghidap kanser otak selepas menjalani pemeriksaan berikutan tahap kesihatannya semakin merosot selepas diserang sawan kali pertama pada 12 Oktober 2004 ketika baru bertugas sebagai guru di sekolah menengah di Kluang, Johor.

“Kerika itu, keadaan saya agak teruk apabila bahagian kiri badan saya menjadi lemah, malah muka saya agak senget sebelah dan kedua ibu bapa mengambil keputusan membawa saya membuat pemeriksaan di HUKM pada 13 Disember 2004 apabila rawatan tradisional yang dilakukan tidak menampakkan sebarang perubahan.

“Selepas melakukan ujian imbasan, CT Scan dan MRI (Magnetic Resonance Imaging), saya disahkan menghidap ketumbuhan otak ‘haemangioperycytoma’ tahap 2 dengan tumor dianggarkan sebesar bola tenis,” katanya yang mengambil cuti sakit selama dua tahun.

Menurutnya, beberapa kali juga dia terpaksa berkerusi roda kerana tidak mampu berjalan terutama ketika diserang sawan, sebelum dan selepas pembedahan menyebabkan semua keperluan diri dan urusan rumah tangga dilakukan sepenuhnya oleh suami, Mohd Mahazir Shahdan, 37 walaupun sibuk dengan tugasnya mengurus ladang tanaman kelapa sawit dan ternakan kambing.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Nur Ainin Sofea, 13, Nur Ainin Wardina, 12, dan Nur Ainin Qistina, 8, yang belajar dan menetap di Tahfiz Asmaul Husna, Bukit Depu, Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 10:57 AM