Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Palu: “Hati saya luluh melihat isteri ketiga putus pergelangan tangan akibat ditimpa dinding rumah,” ujar Emran Musa, 45, berhubung nasib menimpa isterinya, Nyonya Tajriani, 24.

Menurutnya, pergelangan tangan kiri isterinya terpaksa dipotong doktor selepas hancur dihempap dinding serta bumbung kediaman mereka yang runtuh dalam kejadian gempa bumi pada petang 28 September lalu.

Dia berkata, isterinya yang sedang mandi ketika itu kelam-kabut cuba melarikan diri sebaik rumah mereka digoncang gempa bumi.

“Dia bagaimanapun tergelincir di hadapan tandas sebelum dinding batu rumah dan bumbung jatuh menimpanya.

“Isteri saya cuba menyelamatkan diri dengan menahan runtuhan itu menggunakan tangan kirinya namun tindakan itu menyebabkan tangannya cedera parah,” katanya ketika di temui di Hospital Undata Palu yang dijadikan hospital medan, semalam.

Difahamkan, jumlah mangsa gempa bumi dan tsunami yang terlalu ramai menyebabkan katil di hospital itu gagal menampung jumlah pesakit menyebabkan hampi 100 mangsa terpaksa diletakkan di bahagian luar bangunan.

Malah pihak pengurusan hospital berdepan masalah apabila jumlah mayat tragedi, selain mangsa yang meninggal dunia di hospital terlalu ramai melebihi kapasiti dibolehkan untuk penyimpanan mayat di Unit Forensik hospital itu.

“Saya amat sedih walaupun dia selamat, kecederaan dialami begitu serius. Dia jadi cacat dan fikirannya masih trauma,” katanya yang setia berada di sisi katil isteri.

EMRAN  menemani isterinya, Nyonya  yang dirawat di kawasan parkir Hospital Undata Palu yang dijadikan hospital medan.
EMRAN menemani isterinya, Nyonya yang dirawat di kawasan parkir Hospital Undata Palu yang dijadikan hospital medan.

Sementara itu, wartawan turut merasai kesedihan sama dialami seorang wanita apabila pergelangan tangan kiri anak kecilnya berusia lapan tahun turut putus.

Wanita itu, Wahiyu Asri, 38, hanya mampu memujuk anaknya, Rendy Renaldi, lapan tahun, yang meraung kesakitan susulan kecederaan parah dialami.

Bukan hanya putus pergelangan tangan kiri malah jari hantu dan jari manis tangan kanannya turut putus ditimpa dinding rumah.

“Dia tidak berhenti menangis. Puas saya pujuk, kipaskan tangannya tapi Rendy terus menangis. Dia sering bertanyakan tangan kirinya yang hilang,” katanya.

Wahiyu berkata, anaknya itu cedera parah selepas ditimpa dinding batu masjid yang runtuh di Sigi di sini, ketika menunaikan solat Maghrib.

“Mujur dia sempat diselamatkan dan segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan. Namun Rendy yang sudah dibedah terpaksa diletakkan di dalam khemah di kawasan parkir hospital,” katanya.

WAHIYU  berusaha memujuk anaknya, Rendy  yang menahan kesakitan akibat hilang pergelangan tangan kiri.
WAHIYU berusaha memujuk anaknya, Rendy yang menahan kesakitan akibat hilang pergelangan tangan kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:48 AM