MENYEMPURNAKAN misi di Baghdad, Pakistan pada 2005.
MENYEMPURNAKAN misi di Baghdad, Pakistan pada 2005.
Intan Mas Ayu Shahimi

PERTEMUAN dengan wanita ini hanya mengambil masa kurang satu jam memandangkan Prof Madya Dr Shalimar Abdullah, terpaksa menghadiri mesyuarat di sebelah petang.

Sebaik menyapa di pintu masuk, Dr Shalimar terus mengatur langkah ke ruang kosong. Sesi bergambar juga diadakan secara ringkas. Apa yang utama adalah pengalaman dan cerita menarik beliau sebagai pakar bedah orthopedik dan sukarelawan.

Memulakan cerita, kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia mual berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak 1998. Selepas melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran orthopedik, barulah dia berkhidmat sebagai pensyarah dan pakar bedah pada 2005.

“Mungkin kerana adanya minat untuk mengembara dan mencuba sesuatu yang baru, saya mengambil keputusan menyertai Mercy Malaysia, sekali gus menyumbang kepakaran dalam pelbagai misi kemanusiaan sejak 18 tahun dulu,” katanya.

Menurut Dr Shalimar, dia mengutip banyak pengalaman manis, pahit, getir dan cabaran sepanjang bergelar sukarelawan. Berbeza dengan kebanyakan individu yang mungkin datang ke lokasi bergolak untuk membantu, dia pula terpaksa melakukan lebih daripada itu.

“Misi pertama saya adalah ke Sabah dan Sarawak. Ketika itu, saya bertugas sebagai pegawai perubatan di klinik bergerak untuk penduduk Kadazan yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Selepas itu, barulah saya berkesempatan mengikuti misi antarabangsa ke Afghanistan. Kunjungan pasukan perubatan ke sana adalah selepas lebih setahun tamatnya pergolakan.

“Menariknya, di situ saya melihat kebanyakan wanita memakai purdah, lelakinya pula berkopiah, berserban dan berjanggut. Bagaimanapun, setiap kali tiba waktu solat, mereka tidak mendirikan rukun Islam kedua berkenaan. Hal ini saya tanyakan kepada penterjemah dan barulah tahu rupanya mereka tidak tahu bagaimana mendirikan solat.

“Masyarakat di sana ketika itu tidak mempunyai asas pendidikan agama yang mengajar mereka membaca al-Quran dan mendirikan solat. Tahulah saya apa yang kita tengok di televisyen itu ada masanya tidak sama dengan hakikat sebenar. Kita mungkin nampak mereka warak dengan wanitanya menutup seluruh tubuh kecuali mata, tetapi pakaian itu hanyalah sebahagian daripada budaya mereka,” katanya.

MERAWAT pesakit di hospital.
MERAWAT pesakit di hospital.

PERBEZAAN KETARA

Semakin dekat wanita ini dengan kerja kemanusiaan, makin tinggi jugalah pemahaman Dr Shalimar terhadap kelainan budaya, penerimaan, keperluan dan kehendak sebenar penduduk di negara bergolak, mangsa bencana mahupun masyarakat yang terasing daripada kelompok majoriti.

“Pernah suatu ketika, di Afghanistan, seorang pesakit wanita datang kepada saya dan memberitahu dia sukar mendapatkan anak. Saya simpati dan bertanya adalah dia pernah keguguran?

“Tidak sangka apabila wanita berkenaan menjawab dia sebenarnya sudah mempunyai lima anak. Saya agak bingung kerana sekejap tadi wanita berkenaan kata dia susah mendapat anak.

“Menjawab pertanyaan saya, katanya dia mahu sembilan anak kerana semua ahli keluarganya turut mempunyai sembilan anak, sedangkan dia hanya ada lima. Bagi diri saya, permintaan itu memberi satu pengalaman unik ketika bersama mereka,” katanya tertawa.

Jelas Dr Shalimar, sekalipun tahu bagaimana peritnya berada di negara terjejas, dia tidak pernah mengalah. Baginya kepuasan membantu orang yang lebih memerlukan itu sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.

“Sebagai manusia, kita selalu terlupa dan tidak sedar betapa banyaknya nikmat dan anugerah yang Tuhan beri termasuk keluarga, makan, minum, tempat tinggal, keselamatan, keamanan dan keselesaan hidup. Sedangkan mereka yang tinggal di negara bergolak, dihempas tsunami atau digegarkan dengan gempa hilang segala-galanya sekelip mata.

“Keluarga dan saudara mati terkorban, keamanan tergugat, infrastruktur hancur, jalan raya tiada, bahkan pengangkutan juga terhad. Jadi, apalah kiranya jika kita yang ada di Malaysia ini meringankan tangan membantu mereka yang kesusahan. Apabila saya melihat sendiri keadaan masyarakat di negara terjejas, saya insaf. Saya tahu, inilah kewajipan saya. Saya perlu terus membantu orang lain dengan kelebihan yang ada.

MERAWAT pesakit di hospital.
MERAWAT pesakit di hospital.

“Kalau dulu saya pergi sebagai pegawai perubatan biasa, hari ini saya sudah bergelar pakar ortopedik. Saya ambil kesempatan sebanyak mungkin untuk merawat dan melakukan pembedahan di kem perlindungan. Dari situlah saya semakin mengenal ruang dan peluang,” katanya.

Bercerita lanjut pengalamannya sebagai pakar bedah di lapangan, Dr Shalimar berkata, Afghanistan, Pakistan, Indonesia dan Filipina banyak mendidik dirinya menjadi seorang yang kreatif dalam membuat sebarang keputusan.

“Di Afghanistan misalnya, ketika merawat pesakit di sana, saya terpaksa menggunakan jarum dan benang seperti orang menjahit untuk menutup luka pesakit. Ketika gempa di Pakistan pada 2005 pula, kita berdepan situasi agak lucu kerana tiada pengimejan sinar-X. Sukar untuk menentukan siapa yang patah. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pesakit yang berisiko saya letak simen.

“Saya juga pernah melakukan pembedahan di Jogjakarta ketika gempa 2008. Peralatan di sana memang kurang memuaskan. Jadi, suka atau tidak, kita terpaksa menggunakan apa yang ada. Kebetulan skru untuk ‘plating’ tulang hanya satu saiz dan saya terpaksa potong sendiri untuk mendapatkan ukuran yang sepatutnya.

“Kalau hendak diikutkan, secara prinsipnya skru tidak boleh dipotong kerana akan tumpul. Kalau kita masukkan ke dalam tulang, ia akan mematikan tulang berkenan. Namun, kita terpaksa juga buat untuk menyelamatkan pesakit. Malah, di Filipina juga keadaannya sama.

“Kemudian di Jogjakarta dan Filipina juga mereka tidak ada mesin gerudi khas untuk pembedahan hinggakan kita terpaksa menggunakan penebuk dinding. Ini kalau dikira pengalaman sendiri, saya pun tidak pernah guna untuk pembedahan. Tapi di sana memang mereka biasa guna. Memang saya terkejut apabila mereka hulur penebuk dinding. Oleh kerana keadaan begitu, saya tidak dapat melakukan pembedahan rumit kerana masalah peralatan. Hanya pembedahan kecil saya buat.

 DR Shalimar Abdullah
DR Shalimar Abdullah

“Pesakit yang mempunyai kanser kaki juga tidak dapat menjalani ujian dan rawatan sepatutnya. Apabila mereka sampai saja dan kita kesan adanya ketumbuhan, kaki terpaksa dipotong. Tiada imbasan MRI atau ujian perubatan lain sebab semua kemudahan itu tak ada.

“Paling menyedihkan, mereka yang dibedah di Filipina tidak diberi rawatan pemulihan seperti fisioterapi dan rehabilitasi. Habis saja pembedahan dan keadaan stabil, mereka akan dibenarkan pulang dan tunggu saja sehingga pulih. Agak kasihan jika terpaksa berdepan pesakit yang mempunyai masalah teruk,” katanya.

MENINJAU keadaan di sekitar Pantai Talise, Palu.
MENINJAU keadaan di sekitar Pantai Talise, Palu.

TAKUT MASIH ADA

Selepas dunia digemparkan dengan gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.0 dan tsunami di Jepun, Dr Shalimar bersama rakan sukarelawan lain turun padang untuk menghulurkan bantuan.

Bayangkan, badai tsunami dahsyat dengan ketinggian 15.5 meter itu bukan setakat menyapu bersih kejiranan dan membunuh puluhan ribu mangsa, malah turut menyebabkan kemusnahan besar pada Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi 4,700MW yang terletak di pantai wilayah Fukushima.

“Jepun memberi pengalaman luar biasa dan menakutkan. Sesiapa pun pasti gerun apabila mengingatkan bencana gempa, tsunami dan radiasi nuklear yang berlaku. Saya sendiri memang gerun apabila memikirkan kesan nuklear. Media dan orang di sekeliling pula bercerita berkenaan angin yang membawa radiasi.

“Jadi, ketika menjalankan misi di sana, kepala saya ligat memikirkan pelbagai kemungkinan sama ada saya akan mendapat leukemia dan kanser. Biarpun wakil dari Jabatan Radiologi ikut serta, kita tidak tahu bacaan sebenar sehinggalah pulang ke Malaysia.

“Saya berada di sana selama lima hari. Pulang saja ke tanah air, kita dapat tahu sebenarnya tiada radiasi pun. Cuma fikiran memang terganggu. Saya cukup bersimpati dengan penduduk yang terjejas di sana kerana mereka langsung tidak ada tempat untuk di tuju.

“Selain itu, gempa di Palu, Sulawesi, baru-baru ini juga meninggalkan kesan besar buat diri saya. Walaupun sudah banyak menyertai misi di lokasi bencana gempa bumi, keadaan di Palu berbeza. Setiap hari, ada saja gegaran susulan yang besar sekitar magnitud 5.2 atau 4.5. Kalau di tempat lain, mungkin ada sekali atau tak ada gegaran susulan, di sini saya takut dan bimbang dihempap siling.

“Hanya selepas seminggu, barulah saya boleh balik ke Malaysia dan menarik nafas lega. Bagaimana agaknya masyarakat di Palu yang berdepan trauma besar dalam hidup mereka, kemudian diancam pula gempa kecil setiap hari. Pasti sukar untuk mereka melelapkan mata,” katanya mengakhiri temu bual itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 5:01 AM