Siti Rohana Idris


DUA PULUH rumah setinggan hangus dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja, Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, malam tadi.

Sepuluh daripada rumah itu berpenghuni manakala selebihnya adalah rumah kosong.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 8 malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Tunjong, Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.05 malam dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

"Seramai 30 anggota dari Balai Bomba Kota Bharu, Darulnaim dan Pengkalan Chepa dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, 60 peratus dari rumah itu sudah terbakar dan api marak dengan cepat disebabkan jarak rumah yang dekat antara satu sama lain dan juga kerana struktur rumah berkenaan diperbuat dari kayu," katanya ketika ditemui di lokasi, malam tadi.

Katanya punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu sedang disiasat.

Sementara itu, mangsa Esah Yusoh, 77, berkata, kebakaran itu dipercayai bermula dari kotak fius di luar rumahnya yang secara tiba-tiba mengeluarkan percikan api.

ESAH (tengah) tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiaminya lebih 38 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja. FOTO Zaman Huri Isa
ESAH (tengah) tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiaminya lebih 38 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja. FOTO Zaman Huri Isa

Menurut Esah, dia baru selesai menunaikan solat Maghrib apabila dia terdengar bunyi sesuatu dari luar rumah.

Katanya sebaik terlihat percikan api yang keluar dari kotak fius itu, dia terus bergegas keluar dari rumahnya dan berlari ke rumah anaknya tidak jauh dari situ.

"Saya panik dan segera ke rumah anak untuk memberitahunya tentang kebakaran itu sebelum anak saya bergegas melihat keadaan rumah saya.

"Anak saya memberitahu bahawa percikan api semakin besar dan segera mengarahkan orang ramai menghubungi bomba," katanya yang sudah mendiami rumah itu sejak 38 tahun lalu.

Esah tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan tiada sebarang dokumen penting dapat diselamatkan dan dia hanya tinggal sehelai sepinggang keluar dari rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 12:15 AM