KEADAAN Kampung Panji ketika kebakaran terjadi. -Foto IHSAN ROMA JAKARANA
KEADAAN Kampung Panji ketika kebakaran terjadi. -Foto IHSAN ROMA JAKARANA
Fardy Bungga


HAMPIR 400 penduduk atas air Kampung Panji, Semporna, tinggal sehelai sepinggang selepas lebih 82 rumah terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, api dipercayai tercetus akibat litar pintas di rumah seorang penduduk sebelum merebak, manakala angin kencang turut dikatakan menyebabkan api marak lebih cepat.

Mangsa kebakaran, Amran Sabani, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum terdengar jeritan dari luar rumah sebelum mengambil keputusan untuk keluar meninjau.

“Sebaik keluar, saya lihat api sudah memusnahkan rumah jiran dan mula membakar bahagian dapur rumah saya.

“Saya segera kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan dua anak berusia satu dan tiga tahun selain mengarahkan isteri mengambil dokumen penting,” katanya ditemui di pusat penempatan sementara di Dewan Kampung Panji.

MANGSA kebakaran ditempatkan, di Pusat Penempatan Sementara, di Dewan Kampung Panji, Semporna. -Foto FARDY BUNGGA
MANGSA kebakaran ditempatkan, di Pusat Penempatan Sementara, di Dewan Kampung Panji, Semporna. -Foto FARDY BUNGGA

Mangsa lain, Mohammad Zed Tutum, 37, berkata, dia hanya tergamam selepas melihat api menjulang tinggi di atas rumah jirannya.

Katanya, apa yang dapat difikirkannya adalah menyelamatkan tiga anaknya.

“Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga selepas ini, semua barangan musnah dan kini terpaksa mengharapkan ihsan ahli keluarga lain.

“Harap ada bantuan daripada pihak kerajaan untuk meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Semporna, Nurul Fadilah Abdul Hamid berkata, setakat 2.30 petang hari ini, pihaknya sudah mendaftar seramai 82 ketua keluarga membabitkan 396 mangsa kebakaran.

Beliau berkata, pihaknya percaya masih ramai yang belum membuat laporan polis kerana kebanyakan mangsa berada dalam keadaan trauma.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.48 malam dan menghantar 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna ke lokasi.

“Api berjaya dikawal pada 12.38 tengah malam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 2.48 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.

Berita berkaitan

'100 orang tinggal sehelai sepinggang'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 5:08 PM