Bomba memadamkan kebakaran  yang membabitkan tujuh buah  rumah musnah di Kampung Dusun Muda. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Bomba memadamkan kebakaran yang membabitkan tujuh buah rumah musnah di Kampung Dusun Muda. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


TUJUH keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Muda di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, tiada kemalangan jiwa.

Seorang mangsa, Siti Sarah Najwa Abu Bakar, 24, berkata, ketika kejadian, mereka sembilan beranak tiada di rumah kerana berada di kedai makan milik bapanya kira-kira 20 meter dari lokasi.

“Kami didatangi orang kampung yang memberitahu ada kebakaran berhampiran rumah dan tanpa membuang masa saya terus berlari pulang ke rumah.

“Sebaik tiba, rumah kongsi bersebelahan rumah kami sedang terbakar dan orang ramai memunggah beberapa peralatan yang sempat dilarikan termasuk televisyen dan peti sejuk.

“Selain dari peralatan itu, kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan tinggal sehelai sepinggang kerana api marak dengan cepat dan menyambar rumah kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Halimah Awang, 65, berkata, ketika kejadian, dia bersama anak perempuannya, Nor Fadila Fadil, 29, berada di dalam rumah.

“Saya menyedari bahagian belakang rumah sewa sedang terbakar dan berasa agak panik sebelum mengarahkan anak menyelamatkan kereta di luar rumah.

“Saya segera lari menyelamatkan diri dan hanya sempat mencapai beg duit sahaja tanpa sempat memikirkan dokumen penting lain,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Wildan Azahari berkata, pihaknya menerima panggilan 9.05 malam dan tiba di lokasi, pada 9.14 malam.

Beliau berkata, seramai 59 pegawai dan anggota dari lima balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Tunjong, Darul Naim, Pasir Tumboh dan Pengkalan Chepa tiba bersama lapan jentera.

“Kami turut dibantu 16 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan pasukan polis yang bertindak mengawal keadaan.

“Kebakaran dikawal kira-kira 40 minit kemudian dan padam sepenuhnya, jam 11.45 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:22 AM