AKSI peserta ketika perlumbaan.
AKSI peserta ketika perlumbaan.
Hafiz Ithnin


BERBASIKAL sambil memperkenalkan bandar Jeli, Kelantan kepada masyarakat luar. Itu objektif unik Kelab Berbasikal Jeli Riders yang bukan saja mahu memperkenalkan sukan berkenaan kepada semua lapisan masyarakat, malah pada masa sama membawa bandar Jeli kepada pelancong.

Walaupun kelab berbasikal berkenaan baru ditubuhkan pada 2016, ia mampu menganjurkan dua pertandingan bertaraf mega setiap tahun termasuk Jeli Ride Challenge 2019 (JRC 2019) pada 30 Mac lalu.

Penganjuran JRC 2019 disertai lebih 800 penunggang termasuk 100 peserta dari Thailand yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM35,000.

Presiden Kelab Berbasikal Jeli Riders, Abdullah Al Tahir berkata, pada pertandingan yang lalu, pihaknya menawarkan 13 kategori pertandingan membabitkan jarak kayuhan 60 kilometer.

“Jeli berbeza dengan tempat lain. Mungkin di lokasi lain orang mampu mengayuh 30 kilometer tanpa berpeluh, namun keadaan berbeza di Jeli.

PESERTA bersedia untuk dilepaskan dalam JRC 2019.
PESERTA bersedia untuk dilepaskan dalam JRC 2019.

“Ia berikutan struktur bentuk muka bumi yang berbukit menjadikan trek kayuhan basikal di Jeli mencabar dan memberi cabaran tersendiri biarpun kepada penunggang basikal yang sudah lama berkecimpung dalam sukan itu.

“Kebanyakan peserta juga menzahirkan perkara yang sama iaitu trek di Jeli jauh berbeza. Untuk penganjuran tahun ini pada Mac lalu juga kami buat sedikit kelainan apabila memperkenalkan kategori Mountain Bike serta acara berbasikal lebuh raya atau ‘road bike’,” katanya.

Abdullah berkata, pada setiap tahun penganjuran pertandingan itu juga membawa keunikan yang berbeza dan paling utama adalah memperkenalkan bandar Jeli kepada pelancong luar.

Menurutnya, pelancong luar kurang mengenali bandar ini malah orang Kelantan yang tinggal di Kota Bharu (ibu negeri) juga mungkin tidak biasa dengan Jeli.

“Jadi, sejak awal penubuhan kelab berbasikal ini, kami mahu memperkenalkan Jeli. Ia bukan sekadar pengenalan kepada bandar Jeli sebaliknya menonjolkan lokasi pelancongan di sini.

“Tidak ramai yang tahu bahawa bandar Jeli boleh dijadikan lokasi kayuhan basikal ekopelancongan dan matlamat itu kami bawa bersama dalam setiap penganjuran pertandingan,” katanya.

JRC 2019 mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat berbasikal.
JRC 2019 mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat berbasikal.

Katanya, Jeli mempunyai beberapa lokasi menarik bukan saja untuk bersukan malah menikmati pemandangan hijau berbukit sekali gus memberi suasana nyaman kepada penunggang.

Menurutnya, penunggang akan melalui trek berbasikal di beberapa kawasan antaranya Gunung Reng dan Tasik Pergau yang memiliki 1,001 keunikan tersendiri.

“Bagi Gunung Reng, ia memiliki sejarah tersendiri malah saya yakin tidak semua penduduk Jeli tahu mengenainya. Jadi, kami membawakan konsep bersukan sambil menikmati keindahan alam.

“Selain itu juga, kami akan menganjurkan Fun Ride pada 1 Mei ini dan ia masih mengekalkan konsep sama iaitu membawa bandar Jeli kepada pengetahuan umum,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti sukan berbasikal di negeri itu berkembang dengan baik dan setiap pertandingan mendapat penyertaan menggalakkan daripada semua peserta seluruh pelosok termasuk dari negara jiran.

JRC 2019 bawa penunggang melalui Gunung Reng dan Tasik Pergau yang memiliki 1,001 keunikan.
JRC 2019 bawa penunggang melalui Gunung Reng dan Tasik Pergau yang memiliki 1,001 keunikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 4:30 AM