PESERTA membaca doa selamat sebelum acara kayuhan bermula.
PESERTA membaca doa selamat sebelum acara kayuhan bermula.
Zaitie Satibi

Dalam usaha merapatkan hubungan antara orang awam dengan sektor korporat, Invest Selangor Berhad menganjurkan program berbasikal, Selangor Industrial Ride 2018 sejauh 25 kilometer di sekitar Kawasan Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Sebagai satu program untuk komuniti, berbasikal adalah platform terbaik mendekati serta meningkatkan hubungan dengan orang ramai.

Sebanyak 1,000 peserta terdiri daripada warga korporat, komuniti perindustrian dan masyarakat menyertai acara kayuhan kali kedua dianjurkan itu dengan kerjasama Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS).

Pelepasan disempurnakan Menteri Besar, Amirudin Shari, kira-kira jam 8 pagi bermula dari bangunan Sony EMCS (M) Sdn Bhd sebelum kembali ke bangunan sama.

Acara kayuhan itu membuka peluang kepada peserta mengenali kawasan perindustrian yang strategik di sekitar Bangi, di samping berinteraksi dan beriadah secara sihat.

 AMIRUDIN (tiga dari kiri) dan Hasan (dua dari kanan) tidak lepas peluang sertai acara kayuhan.
AMIRUDIN (tiga dari kiri) dan Hasan (dua dari kanan) tidak lepas peluang sertai acara kayuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, objektif utama untuk meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dan kesihatan dalam kalangan masyarakat dan komuniti perindustrian.

“Program berbasikal adalah satu daripada gaya hidup rekreasi dan sosial pada masa ini dan ia juga platform ideal untuk aktiviti membabitkan kesihatan yang sesuai untuk semua lapisan umur.

“Diharapkan melalui program berbasikal ini dapat merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan komuniti perindustrian melalui persaingan yang sihat dalam acara sukan berbasikal.

“Ini sejajar usaha mewujudkan warga kerja industri yang bukan saja berkualiti dalam penyampaian perkhidmatan, malah aktif dalam aktiviti sukan dan riadah sepanjang masa,” katanya.

PESERTA menunjukkan pingat tamat kayuhan selepas acara berakhir.
PESERTA menunjukkan pingat tamat kayuhan selepas acara berakhir.

Pada masa sama Invest Selangor Berhad turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertemakan ‘Eco-Ride’ dengan program menanam pokok di pekarangan bangunan syarikat berkenaan.

Aktiviti menanam pokok itu diilhamkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam penganjuran Selangor Industrial Ride tahun lalu, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan flora kepada alam sekitar dalam kalangan warga korporat, komuniti perindustrian dan masyarakat.

Ia penting untuk membina nilai warga korporat dan komuniti perindustrian yang lebih baik, di samping mengambil langkah pemuliharaan alam semula jadi supaya berkekalan berikutan alam sekitar memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kerana ia saling berkait rapat antara satu sama lain.

AMIRUDIN menyiram pokok yang ditanamnya dalam program memelihara alam sekitar.
AMIRUDIN menyiram pokok yang ditanamnya dalam program memelihara alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 1:10 AM