KAKITANGAN JKR Daerah Ranau mengendalikan jentera bagi membersihkan sisa tanah. FOTO Recqueal Raimi
KAKITANGAN JKR Daerah Ranau mengendalikan jentera bagi membersihkan sisa tanah. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

LALUAN di kedua-dua arah di Jalan Kota Kinabalu - Kundasang berhampiran Kampung Kinasaraban, di Ranau, yang terjejas akibat tanah runtuh, dibuka semula tengah malam tadi.

Ia dibuka pada jam 12.30 tengah malam selepas pihak berkuasa selesai menjalankan kerja pembersihan sisa kayu, pokok dan tanah di laluan berkenaan yang mengambil masa hampir tiga jam.

Sebelum itu, tanah runtuh membabitkan cerun bukit setinggi 30 meter berlaku pada jam 7.40 malam susulan hujan lebat selama lebih tiga jam.

Susulan itu, pihak berkuasa memaklumkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif di Jalan Bundu Tuhan - Randagong Ranau agar kerja pembersihan dapat dijalankan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Kundasang, Adrian Dauli berkata, kerjasama memantau keselamatan pengguna dan kerja pembersihan dijalankan pasukan APM, polis, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Sepanjang kerja pembersihan, pihak JKR turut memasang papan tanda amaran di lokasi dan mendapat kerjasama daripada sebahagian pengguna yang sanggup menunggu kerja pembersihan selesai.

“Operasi pembersihan berjalan lancar dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 9:23 AM