KEADAAN tanah runtuh menutupi dua hala di Jalan Kota Kinabalu - Kundasang berhampiran Kampung Kinasaraban, Ranau, menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup. FOTO Recqueal Raimi.
KEADAAN tanah runtuh menutupi dua hala di Jalan Kota Kinabalu - Kundasang berhampiran Kampung Kinasaraban, Ranau, menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup. FOTO Recqueal Raimi.
Recqueal Raimi


JALAN Kota Kinabalu-Kundasang berhampiran Kampung Kinasaraban, Ranau, ditutup susulan kejadian tanah runtuh, malam ini.

Difahamkan, hujan lebat lebih tiga jam bermula 3 petang menyebabkan cerun bukit setinggi 30 meter runtuh dan menutupi dua hala jalan raya berkenaan pada 7.40 malam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Kundasang, Adrian Dauli, berkata sebaik menerima panggilan pada 8.04 malam, enam anggota dihantar ke lokasi untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, Ketua Penyelaras APM Unit Kundasang, Shamsul Mansor yang berada di lokasi memaklumkan tanah runtuh menutupi permukaan jalan raya sepanjang 18 meter dan menghalang laluan di kedua-dua hala.

“Anggota APM mendapati lebih 50 kenderaan terkandas sebelum menggunakan laluan alternatif di Jalan Bundu Tuhan-Randagong Ranau.

“Pihak polis sudah menutup jalan di kedua-dua hala manakala skuad APM melakukan kerja pembersihan dan menjalankan pemeriksaan bahaya lain,” katanya kepada NSTP.

Adrian berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam perjalanan ke lokasi untuk melakukan kerja pembersihan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Petrus Balahan, 47, berkata dia dan keluarganya terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas menunggu hampir sejam di lokasi kejadian.

“Ketika itu, jalan sangat sesak apabila dipenuhi kenderaan dan pengguna yang keluar daripada kenderaan untuk melihat kejadian.

“Keadaan sangat membimbangkan kerana hujan renyai dan jalan licin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 10:29 PM