Syalikha Sazili dan Mohamad Ridzuan Mohd Anwar

KOS perbelanjaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang berjumlah RM3.6 juta dianggap munasabah meskipun nilainya lebih tinggi dari PRK sebelum ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata, Port Dickson mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN), maka sudah tentu ia memerlukan kos lebih tinggi berbanding PRK di Seri Setia dan Balakong yang diadakan pada awal bulan lalu.

"Saya rasa kos perbelanjaan RM3.6 juta itu munasabah dalam usaha memperkukuhkan demokrasi serta membantu kelancaran sistem pilihan raya.

"SPR (Suruhhanjaya Pilihan Raya) mungkin sedang usaha menambah baik proses dan kita lihat tempoh berkempen selama 14 hari bagi PRK itu juga tidak terlalu lama atau singkat," katanya selepas merasmikan projek pengindahan Laman Lucky Garden di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan penetapan tarikh bagi PRK Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober depan.

Penamaan calon pula akan diadakan pada 29 September dengan 14 hari tempoh berkempen.

Sementara itu, Fahmi juga berkata program pengindahan Laman Lucky Garden adalah usaha komuniti yang dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Laman Lucky Garden atau Pocket Park ini dinaik taraf daripada ruang awam terbiar kepada ruang rekreasi.

"Anggaran luas sebesar 600 meter persegi ini bagi mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan komuniti setempat disamping memperbaiki kualiti imej kawasan," katanya.

Projek Laman Lucky Garden bermula pada 2 Mei dan siap sepenuhnya pada 16 September lalu.

Pembinaan laman terbabit membabitkan ruang lanskap, penanaman pokok bunga, lampu serta buaian untuk kegunaan komuniti setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 3:53 PM