FAHMI Fadzil. FOTO arkib NSTP
FAHMI Fadzil. FOTO arkib NSTP
Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


PAKATAN Harapan (PH) menafikan ada kaitan dengan konsert anjuran kelab peminat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson, hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, PH tidak terbabit dengan konsert berkenaan yang dikatakan diadakan bagi memeriahkan suasana kempen PRK Port Dickson.

“Itu kena tanya sendiri penganjur yang adakan konsert itu kerana PH tidak terbabit,” katanya di sini hari ini.

Semalam, badan pemantau pilihan raya, BERSIH 2.0 meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau penganjuran konsert yang didakwa dianjurkan PH.

Konsert secara percuma itu bakal dimeriahkan oleh barisan artis seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie, Datuk Hattan, Ito dan Wani Hasrita.

Mengulas teguran BERSIH yang mendakwa PH paling banyak melakukan kesalahan ketika PRK sebelum ini termasuk menggunakan aset kerajaan dan memberi hadiah, Fahmi berkata, teguran itu diambil secara positif.

“Saya minta mana-mana pihak melaporkan kepada pihak berkuasa jika melihat PH masih melakukan kesalahan sama sepanjang PRK ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 9:13 PM