Raja Noraina Raja Rahim

POLIS memberi jaminan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, pada 13 Oktober ini akan berjalan lancar dengan menggerakkan pegawai dan anggota tambahan dari kontinjen Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pegawai dan anggota terbabit akan diatur gerak untuk membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Setakat ini, persiapan awal sudah dibuat cuma persiapan rapi akan dilakukan selepas mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Kita mahu anggota bersedia dalam semua elemen bagi memastikan kelancaran proses PRK nanti. Namun masih terlalu awal untuk mendedahkan kekuatan anggota dan pegawai yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

Noor Azam berkata, polis tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan orang ramai kerana ia sudah terjalin menerusi pelbagai program kemasyarakatan yang dijalankan selama ini.

Beliau juga berharap PRK Parlimen Port Dickson berjalan dengan baik mengikut perancangan.

Terdahulu, SPR menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 29 September dan hari mengundi awal pula pada 9 Oktober.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga 11.59 malam, 12 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 3:33 PM