ANTARA barisan peguam yang  hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam.
ANTARA barisan peguam yang hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam.
HM Digital

Putrajaya: Kerajaan Malaysia berpendirian pelantikan Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan tahun lalu, adalah sah dan berperlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Pejabat Peguam Negara berkata, persoalan rujukan dikemukakan Badan Peguam bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim kanan berkenaan, dengan itu kini bersifat akademik.

Menurut Suzana, ia berdasarkan perkembangan terbaru bahawa Raus dan Zulkefli melepaskan jawatan masing-masing pada 11 Julai lalu.

Suzana berkata demikian pada prosiding klarifikasi di hadapan panel tujuh hakim mahkamah persekutuan bagi menjawab persoalan undang-undang sama ada pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan untuk menjawat jawatan masing-masing adalah berpelembagaan.

Sementara itu, Peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Badan Peguam berkata, pihaknya mengambil pendirian persoalan undang-undang yang dikemukakan itu tidak bersifat akademik walaupun kedua-dua hakim kanan berkenaan melepaskan jawatan masing-masing.

Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) turut mengemukakan saman pemula sama dan diwakili Peguam Ranbir Singh, menyokong hujahan Badan Peguam.

Sementara itu, peguam Azly Manas yang mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia selaku pencelah, berpendirian pelantikan itu berperlembagaan, bagaimapun persoalan pelantikan itu perlu diputuskan mahkamah kerana ia tidak bersifat akademik.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad selaku peguam pemerhati yang turut menyokong hujahan Badan Peguam berkata, mahkamah mesti memberikan keputusannya bagi rujukan membabitkan prosedur pada masa hadapan.

Panel tujuh hakim yang diketuai Tan Sri Hasan Lah menangguhkan prosiding kepada tarikh lain untuk membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 10:44 AM