Arifin (membelakangi kamera) dipeluk Md Raus pada hari akhir perkhidmatan beliau, kelmarin.
Arifin (membelakangi kamera) dipeluk Md Raus pada hari akhir perkhidmatan beliau, kelmarin.
BERNAMA
Kuala Lumpur: Ketua Hakim Negara yang baru Tan Sri Md Raus Sharif berkata, beliau akan menunaikan kewajipan dengan segala upayanya seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan Majlis Raja-Raja atas pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya.

Dalam kenyataan semalam, Md Raus berkata, beliau akan meneruskan usaha dilakukan bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bagi memastikan Badan Kehakiman Malaysia terus cemerlang.

Md Raus, 66, ialah Ketua Hakim Negara ke-14 menggantikan Arifin yang bersara selepas mencapai usia 66 tahun dan enam bulan, semalam.

Umur persaraan bagi hakim ialah 66 tahun. Bagaimanapun, perkhidmatan Arifin dan Md Raus dilanjutkan selama enam bulan.

Perkhidmatan Md Raus dilanjutkan dari 4 Februari 2017 kepada 3 Ogos tahun ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan mengikut Klausa (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Najib dan selepas bermesyuarat dengan Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan itu, Sultan Muhammad V juga berkenan atas pelantikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Md Raus.

Kenyataan itu berkata, hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Zulkefli.

Md Raus dilahirkan pada 4 Februari, 1951 di Rembau dan mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Salwany Mohamed Zamri. Mereka dikurniakan dua anak.

Beliau memulakan pendidikan formal di Sekolah Rendah Kampung Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin.

Md Raus menamatkan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya pada 1976.

Beliau adalah kumpulan perintis pelajar undang-undang Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics pada 1987.

Kerjaya cemerlang Md Raus dalam bidang perundangan bermula pada 1976 apabila dilantik sebagai pegawai yang dipinjamkan ke Mahkamah Majistret di Court Hill dan di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa bulan, beliau dilantik sebagai Majistret dan ditukarkan ke Pontian, Johor.

Pada 12 Januari 1996, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Semasa tempoh pelantikannya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau berkhidmat di Shah Alam, Muar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di Bahagian Dagang, Sivil (Mahkamah Keluarga) dan Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

Beliau diangkat ke Mahkamah Rayuan pada 28 Julai, 2008 dan selepas itu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober 2009.

Pada 12 September 2011, Md Raus dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengalu-alukan pelantikan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:11 AM