LEMBU yang mati selepas dirempuh motosikal ditunggangi mangsa di Lebuh AMJ dekat Semabok, semalam. FOTO Rasul Azli Samad
LEMBU yang mati selepas dirempuh motosikal ditunggangi mangsa di Lebuh AMJ dekat Semabok, semalam. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi


LELAKI parah selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan ketika cuba mengelak seekor lembu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Semabok, semalam.

Kejadian berlaku jam 10 malam mengakibatkan penunggang motosikal Noor Aizad Mahad, 27, parah di muka, tangan dan perut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Tangga Batu menghala ke Merlimau, Jasin.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan akibat cuba mengelak lembu melintas jalan. Dia bagaimanapun terlanggar haiwan berkenaan.

“Dalam pada itu, sebuah Perodua Axia dipandu wanita berusia 27 tahun yang kebetulan melalui lokasi kejadian terlanggar motosikal mangsa yang mengakibatkan dia tercampak ke laluan bertentangan,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Pemandu kereta tidak cedera, tetapi lembu terbabit mati di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 5:17 PM