Ruwaida Md Zain


JENAZAH bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar yang meninggal dunia, malam tadi dijangka akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Zohor, hari ini.

Pegawai khasnya Datuk Mohamad Isa Ishak berkata, jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Negeri Shah Alam.

“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Makam Diraja Shah Alam untuk menghadiri perkebumian Allahyarham,” katanya ketika ditemui di kediaman Menteri Besar Selangor ke-12 itu, malam tadi.

Katanya, beliau kali terakhir bertemu Allahyarham pada Jumaat lalu ketika datang ke rumahnya kerana urusan kerja

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Wan Nor Daud, empat anak, 15 cucu dan seorang cicit.

Antara kenamaan yang hadir menziarahi jenazah ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar.

Turut hadir, bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, bekas ADUN Sementa Datuk Abdul Rahman Palil dan bekas ADUN Melawati Jakiran Jakomah.

Berita berkaitan

Bekas MB Selangor meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 1:34 AM