SULTAN Sharafuddin  berkenan menyiram air mawar selepas pengkebumian jenazah Abdul Khalid di Makam DiRaja Shah Alam. FOTO Bernama
SULTAN Sharafuddin berkenan menyiram air mawar selepas pengkebumian jenazah Abdul Khalid di Makam DiRaja Shah Alam. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Persiaran Kayangan Seksyen 5 di sini, 2.30 petang, hari ini.

Solat jenazah Allahyarham diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Muhammad Farhan Wijaya di masjid berkenaan selepas solat Zohor.

Sebelum itu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Jenazah dibawa ke Masjid Negeri diiringi isterinya Puan Sri Salbiah Tunut, anak-anak serta cucu Allahyarham pada 11 pagi.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Makam Diraja Shah Alam untuk menghadiri pengebumian Allahyarham.

Turut mengiringi baginda, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Haris Kasim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Terdahulu, beberapa kenamaan hadir memberi penghormatan di Masjid Negeri antaranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Turut kelihatan memberi penghormatan terakhir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Bekas Menteri Besar Selangor itu meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, 11.08 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 6:07 PM