LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kes seorang wanita ditetak dan dicekik suaminya hingga mati di Taman Merbau Indah, Butterworth.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kes seorang wanita ditetak dan dicekik suaminya hingga mati di Taman Merbau Indah, Butterworth.

Nur Izzati

“SEMASA kejadian, hujan begitu lebat dan kebanyakan penduduk masih tidur,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Asma, 30-an.

Asma yang menyewa di flat dekat Taman Merbau Indah, Butterworth, sejak setahun lalu terkejut sebaik dimaklumkan mengenai berita pembunuhan seorang wanita yang ditetak suaminya di kediaman itu, awal pagi semalam.

Menurutnya, dia tidak mengenali pasangan suami isteri itu memandangkan masing-masing sibuk dengan tugas dan pekerjaan.

“Jadi, bila kecoh satu flat memberitahu ada kejadian bunuh membabitkan jiran di sini, saya terkejut kerana sebelum menyewa saya dengar kawasan ini baik-baik sahaja bahkan ada jiran kerap bertegur sapa.

“Saya tidak mengenali pasangan suami isteri itu kerana baru setahun menyewa dan sibuk bekerja, namun kejadian ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian penduduk tidak menyedari apa-apa perkara pelik atau bunyi bising kerana hujan lebat.

“Kejadian pula berlaku pada awal pagi ditambah pula dengan hujan lebat semua masih lagi tidur, jadi kami tidak mendengar apa-apa pun,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang enggan dikenali berkata, dia yang menjalankan perniagaan membaiki motosikal dekat situ mengetahui kejadian berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

“Ini kes kali pertama saya dengar berlaku di sini selepas bertahun-tahun berniaga.

“Memang terkejut kerana penghuni di sini semuanya baik-baik dan tidak pernah pula dengar siapa-siapa bergaduh, tetapi tidak sangka ada kejadian begitu tragik berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 5 pagi semalam, penduduk dikejutkan dengan insiden pembunuhan membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang maut akibat ditetak suaminya.

Kejadian itu dikatakan berpunca akibat cemburu hingga berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suami mangsa mendakwa isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain berdasarkan perbualan di WhatsApp sejak tiga minggu lalu.

“Sejurus selepas itu, mangsa ditolak sebelum dibunuh suspek yang menetak mangsa dan mencekiknya sehingga mati.

“Suspek kemudian keluar dari rumah dengan membawa anak perempuannya berusia empat tahun sebelum pulang semula pada 10 malam,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek mendapati isterinya sudah tidak bernyawa sebelum membuat laporan polis berhubung keadaan mayat isterinya itu.

Suspek kemudian diberkas pada 2 pagi hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

'Cekik isteri, tetak sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:00 PM