Lokasi kejadian kes seorang bayi dikelar ibu kandung di Taman Cahaya Masai. FOTO OMAR AHMAD
Lokasi kejadian kes seorang bayi dikelar ibu kandung di Taman Cahaya Masai. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Ibu kandung yang mengelar bayi lelaki berusia setahun enam bulan di sebuah kawasan perumahan, di sini, didakwa berubah sikap sejak beberapa hari lalu.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, wanita berusia 32 tahun itu disedari lebih pendiam oleh suaminya beberapa hari sebelum kejadian tragis itu.

Menurutnya, seluruh ahli keluarga terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka insiden ngeri ini berlaku terhadap mereka.

"Kami sendiri terkejut dengan kejadian itu kerana keadaan suami isteri ini memang normal, hubungan mereka baik-baik sahaja. Si isteri juga setahu saya tiada sakit.

"Mereka kerap pulang ke kampung halaman, hampir setiap minggu. Kali terakhir mereka pulang adalah pada awal Ramadan, sempat menyambut puasa bersama.

"Cuma suaminya ada beritahu isterinya menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian, kurang bercakap," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga terbabit, di sini, hari ini..

Menurutnya, suaminya juga memaklumkan dia risau untuk meninggalkan isterinya ketika pergi kerja disebabkan pada malam sebelum kejadian wanita terbabit dilihat hanya diam.

Katanya, mangsa yang juga anak tunggal adalah seorang yang aktif dan ceria.

"Mangsa baru pandai berjalan dan bercakap, memang tengah aktif bermain bersama sepupunya terutama apabila mereka pulang ke kampung halaman," katanya yang memaklumkan jenazah mangsa akan dikebumikan di Felda Redong, Segamat.

Difahamkan, pasangan itu berkenalan sejak di bangku sekolah sebelum mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, seorang wanita dipercayai mengelar bayi lelakinya dirumahnya pada 1.30 tengah hari semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun menghantar gambar si mati yang berlumuran darah pada leher melalui aplikasi WhatApps kepada suaminya.

Wanita itu kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 12:46 PM